am@hmetro.com.my
Alor Setar: Pengorbanan Kedah dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda wajar disusuli dengan insentif kewangan daripada kerajaan persekutuan.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, perkara itu perlu seperti mana yang sudah dipohon kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan fungsi Kedah sebagai jelapang padi negara terus terpelihara.
Baginda bertitah, kerajaan negeri juga menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun dan menghargai peruntukan yang disalurkan bagi pembangunan infrastruktur sawah.
“Agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia perlu lebih agresif dalam memperkasa pembangunan sektor padi.
“Pengorbanan negeri dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda ini wajar disusuli dengan insentif kewangan dari Kerajaan Persekutuan, seperti mana yang telah dipohon,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, DUN Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah tumpuan juga perlu diberikan kepada pembangunan benih padi berkualiti tinggi, penggunaan jentera serta teknologi moden termasuk Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan produktiviti.
Baginda bertitah, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan lebih tegas dan proaktif dalam berdepan cuaca panas yang menyaksikan paras takungan empangan kini berada pada tahap kritikal.
“Kelangsungan sektor pertanian, perindustrian serta keperluan domestik amat bergantung kepada kestabilan sumber air khususnya daripada kawasan hutan tadahan.
“Fenomena cuaca yang semakin tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau ketika ini memerlukan pengurusan sumber air yang mampan serta amalan pertanian yang lebih berdaya tahan.
“Pelan mitigasi risiko bencana perlu ditambah baik secara lebih serius bagi memastikan kesiapsiagaan negeri sentiasa berada pada tahap optimum,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan pengurusan sumber negeri secara berhemah, cekap dan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat dan Eropah Timur.
“Amalan penjimatan perlu dijadikan keutamaan, manakala rakyat juga diseru supaya berbelanja secara berhemah dan mengamalkan sikap berjimat cermat,” titah baginda.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, Kedah akan terus berusaha menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




