Guadalajara: Uruguay dilaporkan membatalkan penerbangan sewa khas pasukan mereka untuk pulang dari Piala Dunia sebagai satu bentuk hukuman terhadap skuad selepas gagal mara ke pusingan kalah mati.
Langkah itu menyaksikan 26 anggota delegasi berkenaan kini perlu menggunakan penerbangan komersial untuk kembali ke Montevideo selepas kempen mengecewakan di peringkat kumpulan.
Keputusan itu difahamkan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) susulan prestasi hambar pasukan kendalian Marcelo Bielsa yang menamatkan saingan tanpa layak ke peringkat seterusnya.
Uruguay tersingkir selepas tewas 1-0 kepada Sepanyol dalam aksi terakhir kumpulan, sekali gus menamatkan kempen di tangga tercorot Kumpulan H.
Situasi menjadi lebih buruk apabila keputusan seri membabitkan Cape Verde dan Arab Saudi sebelum itu turut menutup peluang mereka untuk mara.
Dalam masa sama, suasana tegang dalam kem Uruguay turut mencuri perhatian apabila Bielsa dikatakan berdepan tekanan selepas kempen tidak menjadi.
Pengendali dari Argentina itu dilaporkan menyifatkan dirinya tidak memberi sumbangan bermakna sepanjang tempoh tiga tahun mengendalikan pasukan kebangsaan itu dan bersedia memikul tanggungjawab penuh atas kegagalan tersebut.
Bielsa turut mengakui beliau tidak lagi perlu menjelaskan lebih lanjut mengenai prestasi pasukannya di Piala Dunia, sambil menyatakan bahawa dirinya akan diingati sebagai jurulatih yang tidak membawa perubahan besar.
Dalam perkembangan lain, Bielsa mendedahkan satu keputusan luar biasa dalam perlawanan terbabit apabila penjaga gol berpengalaman, Fernando Muslera, dikatakan meminta sendiri untuk dikeluarkan pada babak pertama.
Muslera sebelum itu melakukan kesilapan apabila gagal menampan kemas rembatan Alex Baena yang membawa kepada jaringan lawan.
Penggantinya, Sergio Rochet, dimasukkan pada awal babak kedua selepas keputusan dibuat tanpa campur tangan langsung daripada jurulatih.
Sementara itu, Uruguay turut menerima tamparan tambahan apabila pemain Manchester United, Manuel Ugarte mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung.
Pemain tengah berusia 25 tahun itu kini menanti penilaian lanjut tahap kecederaan yang dialaminya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




