TINDAKAN Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon untuk menyuarakan pandangannya di luar saluran rasmi telah menimbulkan persoalan dan berpotensi mencetuskan polemik dalam ekosistem bola sepak tempatan, menurut seorang pentadbir bola sepak berpengalaman.
Bekas Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan itu dianggap menghairankan memandangkan Johan bukan baharu dalam sistem pentadbiran bola sepak negara.
Beliau berkata, platform rasmi seperti mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Kongres MFL seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya jika terdapat hasrat sebenar untuk menambah baik keadaan.
“Apabila seseorang memilih untuk bersuara di luar, ia bukan lagi sekadar pandangan profesional, sebaliknya membuka ruang kepada pelbagai persepsi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, Mohd Yusoff menyifatkan masa kenyataan itu dibuat sebagai agak janggal, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya kepentingan tertentu.
Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu mempunyai niat tersirat, termasuk usaha mengalih perhatian daripada kelemahan dalaman yang masih belum ditangani secara menyeluruh.
Katanya, kritikan terhadap liga melalui platform luar juga boleh dilihat sebagai usaha memberi tekanan secara tidak langsung kepada MFL, selain membentuk naratif tertentu.
“Wujud kecenderungan untuk membina momentum dari luar dengan melibatkan pihak lain. Ini bukan lagi kritikan biasa. Kesannya berisiko menyebabkan perpecahan dan menjejaskan kestabilan liga,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff menegaskan sebarang usaha menambah baik bola sepak negara perlu dilakukan secara profesional melalui saluran yang betul, bukannya melalui kenyataan terbuka yang boleh menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding penyelesaian.
Baru-baru ini, Johan menggesa agar perbincangan serius diadakan termasuk kemungkinan menganjurkan sesi meja bulat melibatkan semua pihak berkepentingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya berikutan keadaan kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan kebanyakan pasukan.
Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Penang FC dan Sabah FC antara kelab yang menyokong cadangan penganjuran sesi meja bulat tersebut.
Antara isu berulang yang menjejaskan Liga M ialah kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain cabaran peningkatan kos operasi yang semakin membebankan, lebih buruk lagi dengan kesan ketegangan berterusan di Asia Barat.



