Kuala Lumpur: Bagi Suzana Abdullah, 32, kelonggaran Bekerja Dari Rumah (BDR) secara bergilir yang dilaksanakan oleh syarikatnya memberikan dia sedikit kelegaan dari segi perbelanjaan harian.
Masakan tidak, tanpa kemudahan tersebut, pegawai tadbir di sebuah syarikat telekomunikasi ini perlu berulang-alik saban hari dari rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan ke pejabatnya di Jalan P Ramlee di sini.
“Jika berulang-alik dari rumah ke pejabat, selalunya perbelanjaan petrol, tol, dan letak kereta akan mencecah hingga RM400 sebulan. Selalunya kesesakan jalan raya yang menyebabkan petrol menjadi cepat habis, selain kenderaan perlu dihantar ke bengkel untuk diselenggara setiap tiga bulan,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun wanita ini berharap kelonggaran BDR sehari dalam seminggu yang diberikan oleh majikannya itu dapat dipertingkat memandangkan kuota penggunaan BUDI95 telah diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini, menimbulkan kebimbangan dia kehabisan kuota sebelum tempoh sebulan berakhir.
Bagi Elthan Koo, 38, seorang perunding teknologi maklumat di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Cyberjaya, BDR bermakna penggunaan elektrik yang lebih tinggi di rumahnya.
“Jika dilaksanakan BDR, saya perlu memindahkan kesemua peranti termasuk komputer saya dari pejabat ke rumah untuk membolehkan saya bekerja. Selain itu, pendingin hawa juga perlu dihidupkan sepanjang masa kerana cuaca panas sekarang.
“Bagaimanapun saya bernasib baik kerana tinggal di rumah bertanah dan telah memasang 12 keping panel solar tahun lepas bagi mengurangkan bil elektrik yang sebelum ini mencecah RM300 sebulan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020,” katanya.
Menurutnya, dia juga antara mereka yang mendapat manfaat daripada Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan (Solar ATAP).
(Bermula 1 Jan 2026, Solar ATAP menggantikan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dengan penekanan terhadap penggunaan sendiri yang tinggi tanpa kuota tetap, membolehkan pengguna kediaman atau komersial menampung hingga 100 peratus permintaan sendiri.)
KEBERKESANAN DARI SEGI PENJIMATAN KOS
Susulan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian usaha kerajaan menjimatkan kos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 April, berkata kabinet telah bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula 15 April ini.
Beliau berkata pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, di samping mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.
Bagaimanapun dasar ini hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat. Dasar ini juga tidak tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.
Pakar ekonomi berpangkalan di Malaysia Dr Geoffrey William berkata BDR berpotensi menjimatkan kos bagi pengguna dan kerajaan, khususnya melalui pengurangan penggunaan bahan api serta subsidi.
“Ini merupakan situasi menang-menang dari segi penjimatan kos. Sesetengah syarikat turut menanggung kos petrol pekerja, maka mereka juga akan mendapat manfaat daripada pengurangan perbelanjaan.
“Namun, impak keseluruhan pelaksanaan BDR mungkin terhad disebabkan oleh sifat pekerjaan dalam sektor awam. Kebanyakan peranan sektor awam melibatkan perkhidmatan penting seperti kesihatan, pendidikan dan penguatkuasaan yang tidak sesuai dilaksanakan secara jarak jauh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata daripada kira-kira 1.3 juta penjawat awam di Malaysia, hanya sekitar 522,000 orang layak untuk BDR.
JIMAT HINGGA RM169 JUTA SEBULAN
Menurut badan pemantau alam sekitar Rimba Watch, pelaksanaan BDR bagi separuh tenaga kerja di Lembah Klang mampu menjimatkan subsidi bahan api Malaysia hingga RM169 juta sebulan.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia dan sumber penyelidikan lain, Lembah Klang mempunyai kira-kira 4.1 juta penduduk bekerja. Dengan andaian 50 peratus BDR, seramai 2.05 juta pekerja tidak perlu berulang-alik secara purata sejauh 20 km sehala, dengan penggunaan bahan api sekitar 0.11 liter setiap km dalam keadaan trafik sesak.
Berdasarkan parameter ini, seorang pengguna bekerja yang di Lembah Klang menggunakan kira-kira 2.2 liter petrol sehari untuk ke tempat kerja. Jika 50 peratus tenaga kerja BDR, sebanyak 4.51 juta liter petrol dapat dijimatkan sehari atau 90.2 juta liter sebulan.
“Dengan subsidi bahan api semasa sebanyak RM1.87 seliter (berbanding harga semasa di stesen minyak), ini bersamaan penjimatan RM169 juta sebulan. Jika keadaan geopolitik berlarutan atau bertambah buruk pada tahun ini, jumlah boleh meningkat kepada RM2.03 bilion,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
BERALIH KE TENAGA BERSIH
Peralihan cara bekerja ini mengurangkan perbelanjaan petrol, tol dan kos perjalanan, namun turut menimbulkan kebimbangan baharu, iaitu peningkatan penggunaan elektrik di rumah semasa BDR.
Aspek ini membawa kepada perbincangan penyelesaian jangka panjang seperti penggunaan tenaga solar di samping peningkatan penggunaan pengangkutan awam ketika isi rumah mencari kaedah bagi mengimbangi penjimatan kos dengan penggunaan tenaga lebih mampan.
Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Norasikin Ahmad Ludin berkata pemasangan panel solar bumbung mampu mengurangkan kos elektrik isi rumah dengan ketara, khususnya bagi mereka yang bekerja dari rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




