mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Polis mengesan individu berjubah gelap yang memanjat pagar dan mencuri pakaian jemuran di sebuah rumah teres di Taman Cheras Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video tular kejadian itu pada jam 5 petang.
Menurutnya, susulan itu, satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 31 tahun pada hari sama selepas mendapati pakaian yang dijemur di luar rumahnya hilang.
“Pengadu memaklumkan kejadian disedari kira-kira jam 10 pagi ketika berada di rumah.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu memakai jubah berwarna gelap memanjat pagar sebelum memasuki halaman rumah dan mengambil pakaian jemuran milik pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati hanya pakaian yang dijemur hilang dan tiada barangan lain dilaporkan dicuri.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek terbabit masih dikesan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




