ATM perkasakan integriti banteras rasuah menerusi JITK

ATM perkasakan integriti banteras rasuah menerusi JITK

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dan pengukuhan integriti menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Tatakelola (JITK) ATM Siri 1/2026 yang berlangsung di Wisma Pertahanan, di sini, semalam.

ATM dalam satu kenyataan berkata, fokus utama JITK termasuk pemantapan kerohanian serta ketelusan pengurusan perolehan demi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara terus terpelihara.

“JITK berperanan sebagai platform strategik bagi menyelaras dasar, memperkukuh tadbir urus dan menangani cabaran integriti selaras dengan keperluan semasa serta masa hadapan organisasi pertahanan negara.

“Antara perkara utama dibincangkan ialah isu tadbir urus, tatatertib dan jenayah yang dibentangkan Bahagian Kerohanian Islam (BKI) ATM serta Bahagian Provos Marsyal (BPM), selain Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah ATM 2026–2030 oleh Bahagian Inspektorat (BIJ) ATM,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut ATM mesyuarat itu dipengerusikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan dihadiri kepimpinan Panglima Perkhidmatan, Ketua Staf Markas ATM serta Ketua-Ketua Bahagian dan Cawangan Markas ATM.

ATM berkata, JITK turut menyentuh aspek Grup Lojistik Pertahanan (GLP), yang menjadi panduan penting kepada kepimpinan ATM dalam mempertingkat ketelusan, memperkemas prosedur dan membendung ketirisan dalam pengurusan perolehan.

Katanya, mekanisme kawalan dalam termasuk pengisytiharan harta termasuk Ikrar Bebas Rasuah (IBR), pengauditan berkala, pemeriksaan mengejut, pengukuhan Sistem Pemerintahan Rejimental serta pemantauan berterusan turut dititik beratkan di semua peringkat kepimpinan.

“Selain itu, seluruh warga ATM diseru terus menghayati nilai integriti tinggi dan membudayakan amalan tadbir urus baik dalam pelaksanaan tugas harian.

“Pada masa sama, mekanisme aduan rasmi termasuk Saluran Pemerintahan Rejimental akan terus diperkasa bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top