Berlin: Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, pada Ahad menyalahkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, atas penutupan Selat Hormuz dan menggesa laluan perairan strategik itu dibuka semula.
“Pada akhirnya, penyumbat yang menutup leher botol di Selat Hormuz itu dimasukkan oleh Donald Trump, bukan oleh kami, tetapi kami mempunyai kepentingan untuk mengeluarkannya semula,” kata Pistorius dalam temu bual dengan penyiar ARD.
Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia, secara berkesan disekat sepanjang konflik yang bermula pada 28 Februari susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Tehran sebelum ini bersetuju membuka semula laluan itu di bawah perjanjian awal yang ditandatangani oleh Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian, sekali gus membolehkan trafik perkapalan mula pulih.
Bagaimanapun, Iran pada Sabtu mengumumkan ia sekali lagi menutup laluan perairan penting itu susulan serangan Israel di Lebanon.
“Pembukaan Selat Hormuz, atau lebih tepat lagi laluan yang selamat melaluinya, adalah demi kepentingan Eropah, bekalan tenaga kami dan pemulihan ekonomi kami,” kata Pistorius.
Beliau menambah bahawa sebarang perjanjian untuk membuka semula selat itu memerlukan sokongan Iran dan Oman.
Berlin berulang kali menjauhkan diri daripada kempen Trump terhadap Iran, walaupun pegawai Jerman tidak secara langsung menyalahkan AS sebagai punca konflik tersebut.
Apabila Trump menekan sekutu-sekutunya pada April lalu supaya membantu membuka semula atau mengawal keselamatan Selat Hormuz, Canselor Jerman, Friedrich Merz, berkata perang itu “bukan urusan NATO”.
Merz dan Pistorius turut mengkritik AS kerana tidak berunding dengan sekutu-sekutunya sebelum melancarkan serangan ke atas Iran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




