Singapura: Sebuah kapal tangki China yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) berjaya merentasi Selat Hormuz pada Selasa, biarpun berdepan tindakan sekatan pelabuhan oleh Washington di laluan sempit itu, menurut data perkapalan.
Kapal Rich Starry menjadi aset pertama yang berjaya melalui selat itu dan keluar dari Teluk sejak sekatan bermula, berdasarkan data daripada LSEG, MarineTraffic, dan Kpler.
Kapal ini bersama pemiliknya, Shanghai Xuanrun Shipping Co Ltd, sebelum ini disenarai hitam oleh Amerika Syarikat atas dakwaan berurusan dengan Iran.
Pihak syarikat masih belum memberikan sebarang ulasan buat masa ini.
Rich Starry, sebuah kapal tangki bersaiz sederhana, dilaporkan membawa muatan sekitar 250,000 tong metanol.
Data menunjukkan muatan itu diambil di pelabuhan terakhirnya di Hamriyah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kapal milik China itu dikendalikan sepenuhnya oleh kru warga China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




