am@hmetro.com.my
Padang Terap: “Hanya dalam 15 minit, banyak rumah rosak apabila bumbung diterbangkan dan ada dihempap pokok tumbang akibat ribut,” kata Azizul Ibrahim, 39.
Azizul adalah penduduk Felda Lubuk Merbau, Mukim Tekai Kiri, yang terjejas akibat ribut yang menyebabkan 143 rumah serta kedai rosak petang semalam.
Menurutnya, sebelum ini cuaca panas melanda hampir tiga bulan di kawasan itu dan tidak disangka sama sekali ribut melanda secara tiba-tiba kira-kira 3.45 petang.
“Ada penduduk cakap mula-mula berlaku hujan batu sebelum hujan lebat disertai angin kencang.
“Masa itu bumbung tingkat atas rumah kami terangkat dan diterbangkan hingga 200 meter ke kawasan belakang. Saya membawa tiga anak bersama isteri keluar ke tempat selamat sambil melaungkan azan.
“Ketika itu saya nampak banyak bumbung rumah jiran dan penduduk berterbangan. Ia kejadian paling dahsyat pernah berlaku sepanjang saya tinggal di sini, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Bagaimanapun Azizul bersyukur kerana isteri serta anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan dan menganggarkan kerugian yang dialami dalam kejadian itu sekitar RM8,000.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Nik Hasan Nik Su, 47, berkata kejadian itu menyebabkan bumbung di bahagian depan premis perniagaannya diterbangkan angin kuat.
Katanya, ketika kejadian juga dia dan isteri, Norasiah Hasan, 52 serta dua pelanggan berada di kedai makan itu.
“Pelanggan cuba melarikan diri apabila angin kencang tetapi dihempap khemah yang runtuh menyebabkan mereka cedera.
“Memang tak sangka ribut akan berlaku kerana sebelum itu cuaca panas seperti biasa dan langsung tak nampak seperti nak hujan,” katanya.
Nik Hasan berkata, susulan bencana alam itu dia mengalami kerugian hampir RM20,000 dan berharap bantuan segera dapat disalurkan supaya dapat meneruskan perniagaan.
Katanya, gerai makan itu disewanya sejak 2011 dan perlu dibaiki sendiri tetapi tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian memandangkan dia mempunyai dua anak yang masih bersekolah.
Manakala seorang lagi penduduk, Ahmad Harun, 62, berkata, banyak kelengkapan rumahnya rosak terkena air hujan selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.
Katanya, hari ini dia terpaksa menjemur tilam kusyen serta pakaian yang basah akibat terkena air hujan semalam.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung Dusun, Felda Lubuk Merbau, Mohd Shahrin Abd Rahman berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, kira-kira 143 rumah dilaporkan terjejas akibat kejadian itu dan ia tidak termasuk 30 kedai turut rosak.
Beliau berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sini dan kebanyakan penduduk masih tinggal di rumah masing-masing dan ada yang berpindah ke rumah ahli keluarga.
Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi di sekitar Felda Lubuk Merbau mendapati penduduk kampung sedang membersihkan rumah masing-masing termasuk runcit dan kedai makan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




