Budak 9 tahun ditemui dikurung dalam van sejak 2024

Budak 9 tahun ditemui dikurung dalam van sejak 2024
Budak 9 tahun ditemui dikurung dalam van sejak 2024

Seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan menyayat hati selepas dikurung di dalam sebuah van utiliti milik bapanya sejak 2024.

PARIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun ditemui dalam keadaan menyayat hati selepas dipercayai dikurung di dalam sebuah van utiliti milik bapanya sejak 2024 di timur Perancis.

Kanak-kanak itu ditemui pada 11 April 2026 selepas pihak polis menerima aduan daripada seorang jiran yang mendengar bunyi mencurigakan dari sebuah van di perkampungan Hagenbach, berhampiran sempadan Switzerland dan Jerman.

Selepas memecahkan pintu kenderaan berkenaan, polis menemui mangsa dalam keadaan lemah, tidak berpakaian, berbaring dalam posisi janin di atas timbunan sampah serta berada berhampiran sisa najis.

Mangsa turut disahkan mengalami kekurangan zat makanan teruk dan tidak lagi mampu berjalan akibat terlalu lama berada dalam posisi duduk di dalam kenderaan tersebut.

Menurut pendakwa raya tempatan, Nicolas Heitz, kanak-kanak itu dipercayai telah dikurung sejak November 2024 oleh bapanya atas alasan untuk ‘melindungi’ anaknya daripada dihantar ke hospital psikiatri oleh pasangan baharunya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan tiada rekod perubatan menunjukkan mangsa mempunyai masalah kesihatan mental sebelum ini, malah kanak-kanak tersebut dilaporkan mempunyai prestasi baik di sekolah.

Mangsa memberitahu penyiasat bahawa dia menghadapi kesukaran dengan pasangan bapanya dan percaya bapanya tidak mempunyai pilihan selain mengurungnya. Dia juga mendakwa tidak mandi sejak tahun 2024.

Bapanya kini ditahan dan berdepan pertuduhan awal termasuk penculikan.

Pasangan bapanya turut disiasat atas dakwaan gagal membantu kanak-kanak dalam bahaya, namun telah dibebaskan sementara di bawah pengawasan kehakiman.

Adik perempuan mangsa berusia 12 tahun serta seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun yang berada dalam jagaan keluarga berkenaan telah diserahkan kepada perkhidmatan sosial.

Pihak berkuasa kini menyiasat sama ada terdapat individu lain yang mengetahui atau terlibat dalam penahanan kanak-kanak tersebut. – Agensi

Scroll to Top