ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu, sejumlah wang tunai dan barangan kemas dalam 71 bagasi ditemui pihak berkuasa ketika serbuan di sebuah kondominium mewah di ibu kota lapan tahun lalu berkait siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) begitu banyak hingga melimpah ke lantai.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang mengetuai serbuan pada 17 Mei 2018 itu berkata, pasukannya tidak dapat mengira dan menyenaraikan barangan kemas dan wang tunai terbabit sehingga terpaksa dibawa ke lokap Bukit Aman.
Amar Singh dalam keterangannya berkata, ketika tiba di unit kondominium di Pavilion Residences, Bukit Bintang, beliau dimaklumkan bahawa timbalannya, Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin menemui sejumlah besar beg mengandungi wang tunai dan barang kemas.
Katanya, manakala di bilik kedua juga terdapat sejumlah besar beg berisi wang tunai, barang kemas serta banyak kotak yang mengandungi beg tangan. Kesemuanya 71 bagasi, sekotak plastik dan 284 kotak yang mengandungi beg tangan.
Menurut saksi kedua pihak ketiga itu, pada mulanya, pasukannya hendak mengira setiap satu barang bukti, tetapi sebaik saja membuka beberapa beg, didapati jumlah barangan kemas dalam setiap beg adalah terlalu banyak.
Beliau berkata, berdasarkan penelitian yang dibuat ke atas wang tunai dan barangan kemas terbabit, menunjukkan ia dibungkus atau disimpan dengan tergesa-gesa.
Amar Singh berkata, ia kerana wang tunai berada dalam keadaan berselerak di dalam beg dan tidak diikat atau disusun dengan kemas, manakala barang kemas yang dimasukkan ke dalam bungkusan plastik juga berselerak dan diisi hingga penuh.
Selain itu, Amar Singh berkata terdapat juga beg yang penuh berisi jam tangan dan cermin mata.
“Biar saya jelaskan, apabila kami melihat beg berisi wang tunai, wang itu tidak diikat atau dibungkus dengan kemas dan kandungannya tumpah ke lantai. Kami terpaksa mengumpulkan semula semua item dan menutupnya kembali.
“Begitu juga apabila kami membuka beg barang kemas, ia penuh sehingga melimpah, jadi kami tidak dapat mengira dan senaraikan semua barang bukti ini. Terlalu banyak.
“Jadi kami tidak dapat mengira dan merekodkan barang kes ini kerana jumlahnya terlalu banyak. Bayangkan jika saya membuat pengiraan, saya hanya akan menulis satu jenis barang kemas, tetapi terdapat sehingga 12,000 unit bagi satu rantai. Terdapat begitu banyak rantai.
“Kami tidak mempunyai mesin penimbang dan kami juga bukan pakar dalam menyenaraikan barang bukti berkenaan. Kami bukan pakar untuk menentukan sama ada ia emas tulen, emas tiruan, berlian atau sebaliknya. Kami tidak tahu apa-apa. Terlalu banyak untuk kami senaraikan,” katanya.
Amar Singh yang sudah bersara sejak Disember 2018, berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan semula oleh Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku pihak ketiga dalam kes saman difailkan syarikat barangan kemas, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.
Syarikat berpangkalan di Lubnan itu menyaman Rosmah dengan menuntut ganti rugi berjumlah AS$14.57 juta berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas miliknya.
Dalam kes saman berkenaan, Kerajaan Malaysian dan Ketua Polis Negara turut dinamakan sebagai pihak ketiga.
Sementara itu, Amar Singh dalam pernyataan saksinya pula berkata, beliau dimaklumkan bahawa pegawai penyiasat pengubahan wang haram dan seorang wakil Global Royalty Trading SAL telah membuat pengecaman positif terhadap salah satu barang kemas sebagai milik syarikat terbabit.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada sejumlah 1,041 barang kemas yang ditemui dalam beg yang ditandakan yang disimpan di bilik B di unit berkenaan.
Sehubungan itu, Amar Singh berkata, mereka memutuskan untuk membalut bagasi dengan pembalut plastik, seperti yang digunakan di lapangan terbang, bagi memastikan ia selamat dan integriti barang kes terpelihara.
Amar Singh berkata, semua barang bukti ditempatkan dalam lima kenderaan Black Maria yang ditutup rapat dan dikunci dengan selamat dan kemudian dihantar ke lokap di Bukit Aman untuk tujuan penyenaraian.
“Setiap kenderaan diiringi oleh kereta peronda. Seluruh pasukan kami mengikuti konvoi itu bagi memastikan barang bukti tiba di Bukit Aman dalam keadaan asal.
“Setibanya di sana, kami mengikuti proses yang sama, mengiringi barang-barang secara berperingkat masuk ke dalam lokap. Hanya selepas semuanya dimeterai, barulah kami membenarkan semua orang beredar,” katanya.
Selepas disenaraikan, barangan itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak plastik dan dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk disimpan dengan selamat.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau, dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat berpangkalan di Beirut, Lubnan itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala baki 43 lagi tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa bahawa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Quay Chew Soon.
© New Straits Times Press (M) Bhd




