London: Legenda Formula Satu, Nigel Mansell mengakui beliau “bersimpati” terhadap juara dunia empat kali, Max Verstappen yang mengkritik era peraturan baharu F1, namun percaya badan induk FIA akan melakukan perubahan bagi mengembalikan perlumbaan sebenar.
Verstappen sebelum ini lantang mengkritik pengorbanan kelajuan maksimum demi pengurusan tenaga, malah menyifatkan situasi itu sebagai “secara asas cacat”, manakala juara dunia Lando Norris pula melabelkan perlumbaan ketika ini sebagai “tiruan”.
Mansell yang muncul juara dunia 1992 bersama Williams dan digelar “Il Leone” oleh penyokong Ferrari kerana kelajuan serta keberaniannya, berkata beliau memahami kekecewaan pelumba terbabit.
“Saya menyokong sepenuhnya apa yang diperkatakan pelumba,” katanya ketika menghadiri acara promosi hotel pop-up sempena Grand Prix Britain di Silverstone pada Julai ini.
“Ia sangat mengecewakan apabila jentera paling hebat dalam dunia perlumbaan, F1, dilihat seperti tidak benar-benar berlumba dalam beberapa perlumbaan awal. Perkara ini asing bagi peminat dan juga pelumba yang mahu menggunakan kemahiran mereka sepenuhnya.
“Saya mempunyai simpati penuh terhadap Max. Sama ada saya akan bersuara sekuat itu, mungkin tidak… namun apa yang Lando katakan memang tepat. Apa yang pelumba lain suarakan juga benar. Saya percaya pihak bertanggungjawab sedang mendengar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




