Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menetapkan hala tuju yang jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan, dengan memberi penekanan kepada pendekatan utama bagi menjamin bekalan tenaga serta barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha mengurus krisis tenaga ini digerakkan melalui peranan penting Petroliam Nasional Bhd serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang.
“Dalam masa sama, tindakan menampan kenaikan kos diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu,” beliau berkata dalam satu hantaran di laman sosial X.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah yang diambil.
Pada masa yang sama, Anwar berkata pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam bermula esok.
Pada masa sama, Ops Tiris dipergiat untuk membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.
“Bagi jangka sederhana dan panjang, usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu,” jelas beliau.
Anwar turut berkata biodiesel telah dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya.
“Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” ujar beliau lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




