[DIKEMAS KINI] TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.7 peratus bagi tahun ini, meningkat sebanyak 0.4 mata peratusan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) April 2026 yang dikeluarkan pada Selasa, IMF juga mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia pada 4.3 peratus bagi 2027.
Pada 2025, Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Menerusi WEO Januari 2026 ‘Global Economy: Steady amid Divergent Forces’, IMF menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2026 adalah sebanyak 4.3 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus tahun ini, dengan daya tahan domestik negara serta struktur eksport yang pelbagai terus menjadi penampan dalam menghadapi cabaran luaran semasa, terutama akibat konflik di Asia Barat.
IMF mengunjurkan pertumbuhan global pada 3.1 peratus bagi 2026 manakala 3.2 peratus bagi tahun depan, lebih perlahan berbanding sekitar 3.4 peratus pada 2024 hingga 2025, dan dijangka kekal pada kadar tersebut dalam jangka masa sederhana iaitu lebih rendah daripada purata bagi tempoh 2000 hingga 2019 sebanyak 3.7 peratus.
Unjuran bagi 2026 telah disemak turun sebanyak 0.2 mata peratusan manakala unjuran bagi 2027 kekal tidak berubah.
IMF menjelaskan semakan turun yang agak sederhana terhadap pertumbuhan global berdasarkan unjuran rujukan berbanding kemas kini dalam WEO Januari 2026 disebabkan faktor sokongan berterusan yang sebahagiannya mengimbangi kejutan negatif daripada konflik termasuk tarif lebih rendah, sokongan dasar sedia ada, serta kesan susulan daripada prestasi yang lebih kukuh berbanding jangkaan pada akhir 2025 dan suku pertama 2026 dalam beberapa kes.
“Ini menunjukkan perbezaan ketara antara negara, dengan ekonomi berpendapatan rendah yang mengimport komoditi terjejas lebih teruk ekoran harga tenaga dan makanan lebih tinggi serta penyusutan nilai pertukaran mata wang asing,” jelasnya.
IMF memaklumkan pertumbuhan di negara maju diunjurkan sebanyak 1.8 peratus pada 2026 dan 1.7 peratus pada 2027.
Kesan keseluruhan terhadap pertumbuhan ekonomi maju akibat konflik Asia Barat adalah sederhana, mengurangkan pertumbuhan sebanyak 0.2 mata peratusan pada 2026 berbanding unjuran sebelum konflik.
Keadaan itu disokong oleh kesan terma perdagangan yang positif di Amerika Syarikat dan momentum pertumbuhan lebih kukuh serta mengimbangi langkah kerajaan di Jepun, dengan kesan negatif yang besar dijangka hanya berlaku di beberapa ekonomi pengimport tenaga bersih seperti zon euro dan United Kingdom.
Sementara itu, bagi kalangan pasaran yang sedang pesat membangun serta ekonomi yang sedang membangun, pertumbuhan dijangka susut kepada 3.9 peratus tahun ini sebelum pulih kepada 4.2 peratus tahun depan.
Konflik di Asia Barat memberikan kesan yang berbeza terhadap pertumbuhan bergantung kepada tahap pendedahan melalui kedudukan geografi, aliran kewangan, kiriman wang dan kebergantungan kepada tenaga.
“Secara keseluruhan, konflik itu memberi impak bersih lebih besar terhadap pertumbuhan di pasaran yang sedang pesat membangun dan negara yang sedang membangun berbanding negara maju, dengan penurunan pertumbuhan 2026 sebanyak 0.3 mata peratusan bagi kumpulan itu berbanding unjuran sebelum konflik,” tambahnya.
Pertumbuhan ekonomi yang sedang pesat membangun dan membangun Asia juga dijangka turun kepada 4.9 peratus pada 2026 dan 4.8 peratus pada 2027, daripada 5.5 peratus pada 2025.
Sementara itu, inflasi keseluruhan global meningkat daripada 4.1 peratus pada 2025 kepada 4.4 peratus pada 2026 sebelum kembali reda kepada 3.7 peratus pada 2027.
Kadar itu merupakan semakan naik sebanyak 0.7 mata peratusan bagi 2026 berbanding angka dalam laporan WEO Oktober 2025 sekali gus mencerminkan jangkaan kenaikan harga tenaga dan makanan.
Wujud perbezaan antara negara, dibentuk oleh dinamik inflasi perkhidmatan yang berterusan serta cenderung mempunyai komponen domestik yang lebih besar dan peningkatan bahagian inflasi yang dijelaskan oleh faktor khusus negara.
Pertumbuhan jumlah perdagangan dunia dijangka turun daripada 5.1 peratus pada 2025 kepada 2.8 peratus pada 2026 sebelum meningkat kepada 3.8 peratus pada 2027.
Perkembangan itu mencerminkan aktiviti pembelian dilakukan lebih awal serta kesan tarif, yang dikurangkan melalui pelarasan dalam rangkaian perdagangan dan rantaian pengeluaran dari semasa ke semasa.
Dari sudut positif, IMF menyatakan unjuran rujukan tidak mengambil kira kesan langsung kecerdasan buatan (AI) terhadap produktiviti, dengan kadar penggunaan teknologi tersebut masih sederhana dalam banyak sektor.
Bagaimanapun, lonjakan pelaburan berkaitan AI dan percepatan penggunaannya berpotensi meningkatkan produktiviti secara ketara serta merangsang pertumbuhan jangka masa sederhana dengan lebih cepat.
“Ini berpotensi meningkatkan pertumbuhan global sehingga sebanyak 0.3 mata peratusan dalam jangka terdekat dan antara 0.1 hingga 0.8 mata peratusan dalam jangka masa sederhana.
“Manfaatnya boleh dikongsi merentas ekonomi sekiranya terdapat dasar pelengkap untuk mengawal kemungkinan kesan terhadap harga tenaga dengan melonggarkan kekangan bekalan tenaga, inisiatif untuk meningkatkan skala input perantaraan penting di samping program pasaran buruh bagi mengurus peralihan tenaga kerja,” tambah IMF. – Bernama



