Jeddah: Tractor FC yang bermain dengan 10 pemain tewas 0-3 kepada Shabab Al Ahli sekali gus tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia Elite, ketika juara Iran itu bergelut akibat gangguan persiapan berikutan konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Pasukan dari Tabriz itu mengimbangi permainan pasukan kendalian Paulo Sousa pada separuh masa pertama aksi pusingan 16 awal pagi tadi, namun kad merah pada minit ke-52 kepada penjaga gol Alireza Beiranvand kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Sardar Azmoun menjadi titik perubahan perlawanan.
Sepakan penalti Yuri Cesar pada minit ke-65 meletakkan pasukan Emiriah di depan, sebelum Saied Ezatolahi menggandakan kelebihan 15 minit kemudian dan Mateusao melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan.
“Pasukan kami terjejas kerana selama 40 hari kami tidak dapat menjalani latihan secara normal,” kata jurulatih Tractor, Mohammad Ali Rabiei, yang pasukannya tidak beraksi secara kompetitif sejak konflik di Timur Tengah bermula pada akhir Februari.
“Kami mengurus tenaga pada separuh masa pertama dengan strategi yang dirancang dan mencipta beberapa peluang.
“Selepas ketinggalan, kami cuba sedaya upaya untuk bangkit, bermain secara berisiko tinggi untuk mencari gol penyamaan, tetapi lawan menggunakan ruang di belakang pertahanan kami dan mereka menjaringkan lebih banyak gol.”
Sementara itu, kelab Arab Saudi Al-Ittihad mara ke pusingan seterusnya selepas menang 1-0 ke atas Al-Wahda hasil sepakan penalti kontroversi oleh Fabinho pada masa tambahan penghujung masa tambahan.
Pengadil Ilgiz Tantashev memberikan sepakan penalti selepas lebih 120 minit permainan apabila Abdulrahman Al-Obud dijatuhkan dan selepas kelewatan panjang, Fabinho yang merupakan bekas pemain Liverpool menyempurnakan sepakan tersebut.
Peringkat suku akhir akan bermula tengah malam esok apabila Al-Sadd menentang Vissel Kobe.
Juara Liga Pro Saudi, Al-Ittihad akan menentang Machida Zelvia pada Jumaat, manakala juara bertahan Al-Ahli berdepan Johor Darul Ta’zim dan Shabab Al Ahli bertemu Buriram United pada Sabtu.
Perlawanan pusingan 16 bagi pasukan dari bahagian barat benua itu diadakan sebagai perlawanan satu aksi di Jeddah selepas format timbal balik ditunda bulan lalu akibat konflik di Timur Tengah.
Perlawanan suku akhir, separuh akhir dan final juga akan berlangsung di bandar Arab Saudi itu. Separuh akhir akan diadakan pada Isnin dan Selasa, manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 25 April.
© New Straits Times Press (M) Bhd




