Aliran trafik hari pertama BDR terkawal, beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan

Aliran trafik hari pertama BDR terkawal, beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan

Kuala Lumpur: Aliran trafik pada hari pertama pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam hari ini dilaporkan terkawal, dengan beberapa laluan utama di Lembah Klang mengalami pergerakan perlahan pada waktu puncak.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan aliran trafik mula perlahan seawal 7 pagi berikutan pertambahan kenderaan, namun keadaan keseluruhannya masih terkawal dan tidak menunjukkan perubahan ketara berbanding hari bekerja biasa.

Beliau berkata, setakat 9.20 pagi hari ini, antara laluan yang dilaporkan perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan ialah Hospital Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Putra Mahkota ke Kajang dan Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.

“Aliran trafik turut dilaporkan perlahan di Lebuhraya NKVE dari persimpangan Damansara ke Damansara Utama, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Bukit Rimau ke Persiaran Kewajipan serta SUKOM ke Awan Kecil, Awan Besar ke Kinrara, Sunway ke Persiaran Kewajipan dan Bandar Botanik ke Pandamaran.

“Trafik perlahan turut dikesan di Lebuhraya ELITE dari Putrajaya ke Putra Heights, USJ ke Shah Alam serta Putra Heights ke Bandar Saujana Putra dan Plaza Tol Putrajaya-Cyberjaya, manakala di Lebuhraya Grand Saga (E7) Bandar Tun Hussein Onn ke pusat bandar raya,” katanya.

Selain itu, keadaan sama dilaporkan di Lebuhraya Sungai Besi (E9) Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Tol Mines Utara, Sungai Besi ke persimpangan Kuchai dan Salak Jaya ke pusat bandar raya serta Tol Loke Yew ke Jalan Istana.

Jurucakap LLM turut memaklumkan di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), aliran perlahan dilaporkan berlaku dari Pantai Dalam ke Angkasapuri serta Kuchai Lama ke Pantai Dalam dan Sunway Pyramid ke Persiaran Kewajipan, selain di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong Utama ke Jambatan Kabel dan Jalan Majlis ke Taman Megah serta Sungai Penchala ke SS2.

Sementara itu, di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), trafik perlahan dari Jelatek ke Plaza Tol Datuk Keramat, manakala di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dari Kota Kemuning ke Sri Muda dan Alam Impian ke pusat bandar Shah Alam.

“Aliran trafik turut perlahan di Lebuhraya SILK arah barat dari Cheras Selatan ke Taming Jaya, Balakong ke susur The Mines, Bukit Kajang ke Kajang Utama dan Sungai Ramal ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), selain di Lebuhraya Maju (MEX) dari Sri Kembangan ke Kuchai Lama serta Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dari Kajang Selatan ke Kajang Perdana.

“Di Lebuhraya SPRINT, aliran trafik perlahan dari Kayu Ara ke Damansara Utama, Penchala ke TTDI dan Jalan Duta ke Sri Hartamas, manakala di Lebuhraya DASH dari Kota Damansara ke Penchala,” katanya.

Selain itu, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) aliran perlahan arah selatan dari Greenwood ke Sentul Pasar serta Segambut ke Bamboo Hills, sementara di Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE) dari Bukit Jelutong ke Jalan Subang.

Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam bermula hari ini sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top