Usia 18 tahun tapi berat 14kg

Usia 18 tahun tapi berat 14kg

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Ketika remaja seusianya menjejakkan kaki ke menara gading dan mengejar cita-cita, lain pula kisahnya dengan Khalisah Damia Abd Kadim atau Leesya yang hanya mampu terbaring di atas tilam kerana hilang keupayaan fizikal akibat Cerebral Palsy (CP) iaitu kelumpuhan otak.

Bagi yang tidak mengenalinya mungkin menganggap Leesya masih kanak-kanak, namun dia sudah berusia 18 tahun cuma tumbesarannya terbantut dengan berat 14 kilogram (kg) saja.

Lebih menyedihkan, Leesya tidak mampu berjalan mahupun merangkak, menghidap skoliosis atau tulang belakang bengkok dan hanya mampu mengungkapkan dua perkataan iaitu ayah dan ibu.

Berkongsi kisah itu, ibunya, Siti Robaah Mohd Munaf, 56, berkata, Leesya adalah anak bongsu daripada enam beradik dan dilahirkan normal.

“Segalanya berubah selepas Leesya mengalami demam kuning (jaundis) dengan bacaan yang naik mendadak pada hari kelima selepas dilahirkan.

“Saya dan suami bawa Leesya ke klinik kemudian doktor beri surat dengan meminta kami merujuk kes anak ke sebuah hospital.

“Hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesyaki Leesya anak CP dan kemudian mengesahkannya orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Kampung Lindungan, di sini.

Sebagai ibu, Siti Robaah mengakui tidak boleh menerima keadaan Leesya pada awalnya kerana mengharapkan anaknya dilahirkan normal tanpa masalah kesihatan.

“Bila doktor beritahu keadaan sebenar, dia minta saya sabar dan ketika itu saya memang tak boleh nak terima.

“Ambil masa juga nak berdamai dengan takdir dan menangis tapi akhirnya reda kerana fikir Allah SWT tentukan jadi begini.

“Sejak dilahirkan sampai sekarang, saya tak pernah lagi terima kata tak sedap didengar mengenai Leesya kerana semua orang terima termasuk saudara mara dan rakan terdekat.

“Cuma keadaan Leesya memang tak macam remaja seusianya kerana ramai ingat dia masih bayi dan kanak-kanak kerana tubuhnya yang kecil. Ia kerana tumbesarannya mula perlahan dan seakan terbantut sejak berusia 13 tahun,” katanya.

Menurut Siti Robaah, dia tidak pernah berpisah dengan Leesya malah sebagai suri rumah, kebanyakan masanya dihabiskan untuk menjaga, memantau dan menguruskan anaknya itu.

“Rutin harian saya adalah beri Leesya minum susu formula khas setiap empat jam sekali dengan kekerapan enam kali sehari.

“Kemudian, saya perlu pakaikan Leesya alat bantuan pernafasan kemudian bantu sedut kahaknya menggunakan mesin di rumah.

“Saya tak berseorangan kerana dibantu anak yang lain dan suami jika dia tidak bekerja.

“Kena banyak sabar jaga anak begini kerana jika tertekan, Leesya akan muntah-muntah…dia pun banyak keluar masuk hospital, kebiasaannya akibat demam dan jangkitan kuman,” katanya.

Selagi bernyawa, Siti Robaah akan terus menjaga anak syurganya itu dengan sebaiknya.

“Saya sudah pesan dengan suami dan anak yang lain untuk jaga Leesya seandainya saya pergi dahulu,” katanya yang juga bekas pesakit angin ahmar.

Sementara itu, anak kelimanya, Mohamad Zamrin Abd Kadim, 23, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Komputer dalam Multimedia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dia masih menjalani latihan industri namun tetap membantu ibunya menjaga Leesya pada waktu terluang.

“Saya rapat juga dengan adik malah selalu tidur dengannya…jika di rumah, saya akan tolong ibu melayan juga mandikannya.

“Mulanya tak faham juga keadaannya tapi bila semakin meningkat dewasa, saya mula faham dan sedar tanggungjawab saya.

“Bagi saya, adik saya comel dan banyak rezeki dapat mungkin kerana asbab menjaganya, salah satunya masuk ke universiti dan sambung pengajian peringkat ijazah yang menjadi impian saya.

“Apa pun terjadi, saya akan bergilir-gilir menjaga adik kerana tak akan biarkannya bersendiri,” katanya yang mencari rezeki sebagai penunggang p-hailing sejak tiga tahun lalu bagi mencari wang untuk membayar yuran pengajian dan meringankan beban keluarga.

Buat masa ini, Leesya menerima elaun bulanan sebanyak RM300 bagi OKU terlantar dan bantuan kerusi roda, lampin pakai buang juga susu formula khas daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Orang ramai yang berhasrat membantu menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162311938480 atas nama Mohamad Zamrin Abd Kadim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top