PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan dibuat sebuah syarikat yang mengaitkan dengan dakwaan aktiviti penyembelihan ayam secara tidak halal seperti yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira pukul 9 malam tadi.
“Kes dirujuk kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Memuatkan artikel berkaitan…
Sebelum itu syarikat terbabit memaklumkan bahawa aktiviti penyembelihan yang ditunjukkan dalam video berkenaan tidak melibatkan syarikat mereka mahu pun mana-mana cawangannya.
Pihak pengurusan syarikat itu menjelaskan, kenyataan itu bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan orang awam, pelanggan serta pihak berkaitan.
Baru-baru ini, tular rakaman video penstriman langsung di media sosial berhubung dakwaan seorang pembekal ayam di Kuala Lumpur tidak menyembelih ayam tersebut, sebaliknya mencampakkannya ke dalam air panas hidup-hidup.
Susulan itu, Jakim mengesahkan sedang melaksanakan siasatan menyeluruh terhadap sebuah syarikat susulan isu tular sembelihan ayam.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). –UTUSAN




