Polis Brickfields tambah empat lagi SJR tetap

Polis Brickfields tambah empat lagi SJR tetap

safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis Daerah Brickfields, mewujudkan empat sekatan jalan raya (SJR) secara tetap dalam daerahnya bagi mengelakkan pergerakan rentas negeri dan rentas daerah tanpa kebenaran.

SJR berkenaan didirikan di Lebuhraya Persekutuan, bagi laluan masuk ke ibu negara; Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) berhampiran Pantai Dalam menghala ke Bangsar; di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers dan kawasan Petaling.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata SJR itu diadakan kerana ada individu yang berdegil bergerak melebihi 10 kilometer dari kediamannya tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati masih ada individu yang bergerak keluar dari kediaman mereka melebihi 10 kilometer (km) dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti mencari makanan barang keperluan yang sememangnya ada dalam lingkungan kediaman mereka.

“Kita juga kesan pengguna jalan raya yang melalui SJR di Brickfields ini datang dari arah Selayang dan Cheras dan menyangkakan bahawa mereka boleh bebas bergerak di sekitar Kuala Lumpur,” katanya kepada BH selepas meninjau SJR di Jalan Travers, di sini, hari ini.

Anuar berkata, kerajaan sudah menetapkan bahawa mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang urusan penting disarankan untuk terus berada di rumah dan sekiranya ingin membeli dan mendapatkan barang keperluan, mereka hanya dibenarkan bergerak dalam lingkungan 10 km dari kawasan kediaman.

“Justeru disamping mengesan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab melanggar arahan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pihak polis juga akan menyekat pergerakan mereka yang hendak menuju ke kawasan Petaling Jaya di Selangor, tanpa kebenaran.

“Mereka yang keluar melebihi 10 km ini akan diberikan kompaun dan akan dinasihatkan untuk berpatah balik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anuar turut menyarankan mana-mana pengguna jalan raya untuk menyediakan dokumen atau surat kebenaran pergerakan di tempat sesuai contohnya di hadapan cermin kereta bagi memudahkan pemeriksaan polis serta menjimatkan masa pemeriksaan.

Beliau berkata, tindakan pihak menyimpan dokumen pergerakan dalam beg semasa melalui SJR akan menyebabkan kesesakan dan proses pemeriksaan akan mengambil masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top