
Gambar fail menunjukkan bot laju Iran melakukan rondaan di perairan Teluk Parsi.-Agensi
TEHERAN – Sekurang-kurangnya dua kapal dilaporkan berjaya keluar dari pelabuhan Iran dan merentasi Selat Hormuz walaupun Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan laut terhadap negara itu.
Menurut data penjejakan maritim, kapal-kapal tersebut merupakan sebahagian daripada sekurang-kurangnya empat kapal berkaitan Iran yang masih menggunakan laluan berkenaan selepas ancaman sekatan diumumkan Washington.
Data daripada penyedia maklumat maritim Kpler menunjukkan kapal kargo berbendera Liberia, Christianna, melintasi selat itu sekitar jam 4 petang waktu GMT pada 13 April selepas memunggah kira-kira 74,000 tan jagung di pelabuhan Bandar Imam Khomeini.
Sebuah lagi kapal, kapal tangki berbendera Comoros, Elpis, turut dilaporkan berada berhampiran Pulau Larak sebelum berjaya melepasi selat berkenaan pada hari sama.
Kapal itu membawa kira-kira 31,000 tan metanol selepas berlepas dari pelabuhan Bushehr pada 31 Mac lalu.
Selain itu, sebuah kapal tangki China, Rich Starry, turut dilaporkan merentasi selat berkenaan melalui laluan yang diluluskan Iran di selatan Pulau Larak.
Sebelum ini, Pusat Komando Tentera AS (CENTCOM) menyatakan sekatan akan dikenakan terhadap semua kapal yang memasuki atau keluar dari pelabuhan serta kawasan pesisir Iran di Teluk Parsi dan Laut Oman.
Namun, penganalisis maritim memberi amaran bahawa isyarat penjejakan kapal di kawasan tersebut berkemungkinan terganggu atau dimanipulasi, sekali gus menyukarkan pemantauan tepat pergerakan kapal.
Iran dalam masa sama mengecam keras tindakan AS yang disifatkan sebagai pencabulan kedaulatan dan integriti wilayahnya.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan Iran akan dilaksanakan susulan kegagalan rundingan damai di Islamabad.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa sebarang kehadiran kapal tentera asing di Selat Hormuz boleh dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata rapuh yang dicapai selepas lebih 40 hari konflik sengit.
Pihak tentera Iran turut memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap pelabuhan negara itu berisiko mencetuskan tindak balas lebih luas di peringkat serantau.-Agensi



