Miami: Seorang pakar bedah di Florida didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat selepas beliau tersilap membuang hati pesakit dan bukannya limpa, semasa satu pembedahan pada Ogos 2024.
Thomas Shaknovsky, 44, didakwa oleh juri besar di Tallahassee pada Isnin selepas pihak pendakwa raya mengatakan beliau melakukan kesilapan besar ketika membedah William Bryan, 70, dari Muscle Shoals, Alabama, lapor The Guardian.
Juri di daerah kehakiman pertama mendengar bahawa Shaknovsky, dari DeFuniak Springs, sepatutnya melakukan pembedahan yang dipanggil laparoscopic splenectomy (pembuangan limpa secara pembedahan kecil), tetapi sebaliknya beliau mengeluarkan hati lelaki itu.
Akibatnya ialah “kehilangan darah yang sangat teruk dan kematian pesakit di meja pembedahan,” menurut kenyataan daripada Sheriff daerah Walton, Michael Adkinson.
Shaknovsky ditahan di Miramar Beach, Florida pada pagi Isnin dan dibawa ke penjara daerah Walton sebelum hadir ke mahkamah pada Selasa, kata pihak sheriff.
Dokumen mahkamah dan arahan kecemasan penggantungan lesen oleh Jabatan Kesihatan Florida, kurang sebulan selepas kematian Bryan, menyatakan bahawa Shaknovsky didakwa tetap mahu meneruskan pembedahan di Hospital Ascension Sacred Heart Emerald Coast di Miramar Beach walaupun jelas beliau melakukan kesilapan.
“Dr Shaknovsky mengeluarkan organ yang disangkanya limpa, tetapi disebabkan terkejut dan keadaan huru-hara, beliau tidak dapat mengenal pasti organ itu dengan betul,” kata pendakwa raya.
Arahan penggantungan lesen yang ditandatangani oleh Ketua Pakar Bedah Florida, Joseph Ladapo, menyatakan bahawa Shaknovsky memberitahu penyiasat, beliau tidak dapat mengawal aneurisme yang menyebabkan ruang dada Bryan dipenuhi darah, “tetapi sebaliknya memutuskan untuk meneruskan pembedahan sebagai usaha terakhir untuk menghentikan pendarahan selepas pesakit mengalami serangan jantung selama 15 minit.”
Adkinson berkata, “tugas kami adalah mengikuti fakta ke mana sahaja ia membawa, tanpa rasa takut atau pilih kasih.”
“Juri besar membuat keputusan dan tanggungjawab kami adalah memastikan pertuduhan diteruskan melalui proses undang-undang yang betul. Fikiran kami kekal bersama keluarga mangsa atas kehilangan yang tidak dapat digambarkan.”
Sherif berkata, juri besar mendapati ada sebab munasabah bahawa tindakan Shaknovsky di bilik pembedahan adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang Florida dan mengemukakan dakwaan membunuh tanpa niat tahap kedua (jenayah berat tahap kedua).
Jika disabitkan bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda sehingga AS$10,000 (kira-kira RM39,500).
Tiada peguam disenaraikan untuk Shaknovsky, yang turut kehilangan lesen perubatannya di Alabama dan New York selepas kematian Bryan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




