London: Pertahanan tengah Manchester United, Harry Maguire akan terlepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea FC selepas dikenakan penggantungan satu perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) atas kesalahan salah laku.
Pemain berusia 33 tahun itu, yang juga pemain antarabangsa England, baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama United awal bulan ini sehingga tahun 2027.
Maguire dikenakan pertuduhan selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-78 ketika aksi seri 2-2 menentang AFC Bournemouth bulan lalu.
FA memaklumkan Maguire didakwa bertindak tidak wajar dan menggunakan kata-kata kesat serta tingkah laku tidak sopan terhadap pegawai keempat selepas beliau dilayangkan kad merah.
Pemain itu bagaimanapun mengakui kesalahan itu dan turut dikenakan denda.
Dalam perkembangan lain, United turut kehilangan seorang lagi pertahanan tengah, Lisandro Martinez, yang digantung tiga perlawanan selepas menerima kad merah kerana kekasaran dalam kekalahan 2-1 di laman sendiri kepada Leeds United.
Martinez dilayangkan kad merah pada minit ke-56 selepas didakwa menarik rambut penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin.
Situasi itu menyaksikan United berdepan krisis pertahanan menjelang perlawanan menentang Chelsea, selain turut terlepas aksi menentang Brentford FC dan Liverpool FC.
United ketika ini berada di tangga ketiga liga dengan 55 mata daripada 32 perlawanan, dan dijadualkan bertandang ke Stamford Bridge untuk aksi menentang Chelsea pada Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




