Dua lelaki ditahan, polis rampas dadah RM271,400

Dua lelaki ditahan, polis rampas dadah RM271,400

Georgetown: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM271,400 dalam serbuan di sebuah rumah di sini pada Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata serbuan pada 7.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hasil maklumat dan risikan.

“Hasil pemeriksaan di kediaman itu menemukan sebuah kotak berwarna coklat yang di dalamnya terdapat 99 peket plastik mengandungi serbuk disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat kira-kira 1.77 kilogram.

“Turut ditemukan satu peket plastik disyaki ketamin, empat peket daun kering disyaki ganja serta satu batang rokok berisi tembakau dan campuran daun kering disyaki ganja dengan nilai keseluruhan RM271,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata sebuah kereta Perodua Alza bernilai kira-kira RM35,000 turut disita, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM306,400.

Beliau berkata hasil risikan mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu sejak Februari lepas bagi memenuhi pasaran tempatan dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 974 penagih.

“Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine serta tetrahydrocannabinol, dan semakan mendapati suspek pertama mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang lagi mempunyai dua rekod lampau kesalahan sama,” katanya.

Lee berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 66 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 20 April ini untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top