Arbeloa berang Camavinga dilayangkan kad merah

Arbeloa berang Camavinga dilayangkan kad merah

PENGENDALI Real Madrid, Alvaro Arbeloa mengecam sekeras-kerasnya keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Eduardo Camavinga selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich, pada awal pagi Khamis.

Camavinga yang dibawa masuk sebagai pemain simpanan, diarah keluar padang selepas menerima dua kad kuning dalam tempoh singkat ketika perlawanan berbaki empat minit sebelum tamat aksi timbal balik suku akhir tersebut.

Ketika insiden itu berlaku, kedudukan agregat masih terikat, namun Bayern mengambil kesempatan atas kekurangan pemain Real untuk meledak dua gol lewat bagi mencatatkan kemenangan 4-3 pada malam itu (agregat 6-4).

Kemenangan itu menyaksikan gergasi Jerman tersebut menempah slot separuh akhir menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Kad kuning kedua pemain antarabangsa Perancis itu diberikan kerana didakwa sengaja melengah-lengahkan permainan selepas melakukan kekasaran terhadap penyerang Bayern, Harry Kane.

“Sesuatu yang sukar dipercayai apabila pengadil boleh membuang padang seorang pemain atas tindakan seperti itu dalam perlawanan (berintensiti tinggi) seperti ini.

“Kami berasa sangat kecewa, sangat marah dan terkilan. Ini merupakan perlawanan yang sepatutnya menjadi penentu kepada musim kami,” kata Arbeloa kepada TNT Sports.

Nada kekecewaan itu turut dikongsi bintang tengah Real Madrid, Jude Bellingham yang menyifatkan keputusan pengadil tersebut sebagai ‘satu jenaka’ ketika berjalan melepasi pengamal media selepas tamat perlawanan.

Kekalahan tersebut menyaksikan Real Madrid kini berisiko menamatkan musim kedua berturut-turut tanpa sebarang trofi utama.

Skuad kendalian Arbeloa itu kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona dengan saingan hanya berbaki sembilan perlawanan untuk diharungi.

Scroll to Top