‘Siapa peduli apa orang kata, kami tetap layak’ – Rice

‘Siapa peduli apa orang kata, kami tetap layak’ – Rice

PEMAIN tengah Arsenal, Declan Rice menyifatkan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut sebagai satu pencapaian luar biasa buat kelab itu.

Walaupun gagal mempamerkan aksi bertenaga selepas sekadar terikat seri 0-0 menentang Sporting Lisbon pada awal pagi Khamis, The Gunners tetap mengesahkan slot empat terbaik menerusi kemenangan agregat 1-0.

Kemenangan tipis itu hasil jaringan tunggal Kai Havertz di tempat lawan pada aksi perlawanan pertama minggu lalu.

“Untuk kembali ke separuh akhir berturut-turut adalah pencapaian yang menakjubkan buat kumpulan pemain ini.

“Kami mahu melangkah lebih jauh berbanding tahun lalu dan layak ke perlawanan akhir,” kata Rice kepada TNT Sports.

Untuk rekod, Arsenal yang belum pernah menjulang trofi berprestij itu, terkandas di peringkat separuh akhir musim lalu selepas tewas kepada juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Skuad kendalian Mikel Arteta itu dijadualkan bertemu Atletico Madrid di separuh akhir bagi merebut peluang menentang sama ada PSG atau Bayern Munich pada aksi final di Budapest, bulan depan.

Bagaimanapun, aksi hambar di Stadium Emirates itu menimbulkan keraguan terhadap kesediaan Arsenal menjelang perlawanan penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City, Ahad ini.

Arsenal ketika ini berada dalam prestasi yang agak membimbangkan apabila hanya mencatatkan satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Rentetan keputusan buruk itu menyaksikan mereka tewas di final Piala Liga kepada City dan tersingkir daripada saingan Piala FA di tangan pasukan divisyen dua, Southampton.

Meskipun dihujani kritikan penyokong dan pemerhati bola sepak, Rice memilih untuk kekal positif.

“Teruskan berfikiran positif. Siapa peduli apa yang orang lain fikirkan? Apa yang penting adalah apa yang pasukan ini dan pengurus fikirkan. Kami berada di satu lagi separuh akhir, saya sangat gembira.

“Rekod kami tahun ini sangat luar biasa dalam semua kejohanan. Persoalannya, sejauh mana anda mahukannya (kejayaan)? Saya tahu saya sudah bersedia, rakan sepasukan juga bersedia, jadi mari kita hadapinya!,” kata Rice.

Scroll to Top