am@hmetro.com.my
Butterworth: “Terima kasih Datuk Seri kerana masih ingat pada saya dan anak-anak ketika kami tinggal bergelandangan di bawah Jambatan Pulau Pinang. Kami bersyukur ramai individu baik tampil membantu dan kami diberi peluang menjalani kehidupan lebih baik,” ujar Mohd Effendee Md Yusoff, 47.
Kisahnya yang terpaksa hidup bergelandangan di bawah Jambatan Pulau Pinang pada 2021 diceritakan kembali Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini.
Bekas komando dari Kem 22 Komando (Rejimen Gerak Khas) di Kuala Kubu Bharu itu berkata, dia hanya mengetahui kisahnya disiar di media selepas diberitahu kenalan dua hari lalu.
Katanya, dia kini melakukan pelbagai kerja kampung selain menangkap ikan dan siput di sekitar Pantai Jerjak sebagai punca pendapatan.
“Ketika berada dalam kem, kami belajar pelbagai kemahiran asas seperti pertukangan, pembaikan kenderaan dan sebagainya.
“Apabila tidak lagi bekerja, saya gunakan semua kemahiran yang ada bagi mencari pendapatan dan meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pada 2021, Harian Metro melaporkan nasib tiga beranak yang diselamatkan polis semasa melakukan rondaan berhubung aduan kes kenderaan dibaling batu ketika melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut pada ketika itu, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, anggota polis mulanya menyangka tiga beranak itu adalah nelayan sebelum diberitahu bahawa mereka sudah menghuni bawah jambatan berkenaan selama dua bulan selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran.
Menurut Soffian, polis kemudian membawa tiga beranak itu tinggal sementara di sebuah unit rumah kosong di Balai Polis Sungai Nibong sebelum mereka dibawa ke Anjung Singgah, Georgetown.
Menceritakan kembali kisahnya, Mohd Effendee berkata, selepas beberapa minggu tinggal di Anjung Singgah, dia dan dua anak, Muhammad Alif Maulana dan Muhammad Arif Maulana yang ketika itu masing-masing berusia 10 dan 11 tahun kembali tinggal di bawah jambatan berkenaan.
“Saya akui memang sukar hendak cari pekerjaan. Kerana itu saya kembali bergelandangan dan mencari rezeki dengan menangkap ikan di pantai berhampiran jambatan berkenaan sebelum dijual bagi membeli makanan.
“Tidak lama kemudian, kami dikunjungi sekumpulan individu menggelarkan diri sebagai Sahabat Muzakarrah. Mereka membantu kami dapatkan penempatan lebih baik.
“Saya difahamkan, kumpulan itu adalah kenalan kepada Datuk Seri (Shuhaily), malah mereka juga membelikan pakaian baharu buat kami manakala dua anak didaftarkan belajar di ‘sekolah pondok’,” katanya yang kini tinggal di Kepala Batas.
Mohd Effendee berkata, kini dua anaknya masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, konsisten dalam pengajian di sebuah pusat tahfiz serta merancang untuk khatam al-Quran kali keenam pada bulan Jun seterusnya menduduki Syahadah Ula (pencapaian tertinggi penghafaz al-Quran).
Malah dua anaknya menanam impian mahu melanjutkan pengajian agama di Jawa Timur, Indonesia sekali gus memenuhi hasrat ibunya yang mahu mereka menjadi tokoh agama atau maulana, seperti nama mereka.
“Sebelum kami tinggal di bawah jambatan, ibu mereka pulang ke Indonesia namun dia masih berhubung dengan anak-anak.
“Impian saya juga hanya satu, mahu melihat anak-anak berjaya dalam hidup dan cita-cita mereka,” kata Mohd Effendee yang enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinannya.
Mengenai perancangan Shuhaily memanggil veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyertai AKPS, Mohd Effendee berkata, ia adalah satu langkah terbaik bagi golongan sepertinya.
“Sekurang-kurangnya ilmu dan kemahiran yang kami peroleh semasa dalam pasukan dapat digunakan dengan sewajarnya dan dipraktik bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




