Alor Gajah: Dalam landskap industri makanan yang semakin menekankan kualiti dan kepelbagaian, ayam kampung Saga muncul sebagai pilihan baharu pengguna apabila gabungan baka berkualiti dan inovasi produk menjadikannya semakin mendapat tempat di pasaran, sekali gus membuka peluang kepada penternak menembusi segmen yang lebih kompetitif.
Pengusaha, Suhaiti Ariffin, 53 berkata, permintaan terhadap ayam kampung Saga dilihat meningkat khususnya di zon selatan Semenanjung tanah air, didorong keunikan baka serta kepelbagaian produk nilai tambah yang memenuhi cita rasa pengguna moden.
Suhaiti berkata, selain menjual ayam hidup dan diproses, pelbagai produk inovasi termasuk ayam sejuk beku, ayam salai serta telur ayam kampung yang diolah menjadi telur masin kian menjadi tarikan utama dalam pasaran.
“Biasanya telur masin dibuat daripada telur itik, tetapi kami cuba hasilkan menggunakan telur ayam kampung Saga. Alhamdulillah, ia mula mendapat perhatian pengguna,” katanya kepada pemberita di ladangnya di Kampung Gadek, di sini.
Pendekatan inovasi produk itu bukan sahaja membantu meluaskan pasaran, malah meningkatkan daya saing dalam industri penternakan ayam kampung serta mengurangkan kebergantungan kepada jualan ayam segar sahaja terutama pada musim perayaan.
“Ayam kampung Saga ini mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya tempoh pembesaran lebih singkat, iaitu sekitar tiga bulan serta saiz lebih besar yang boleh mencecah hingga dua kilogram seekor.
“Faktor ini sekali gus menjadikannya lebih efisien untuk diternak dan menarik kepada pengguna,” katanya yang memulakan ternakan itu sejak sedekad lalu.
Selain ayam segar yang dijual pada harga kira-kira RM17 sekilogram dan ayam diproses RM23 sekilogram, produk hiliran seperti ayam salai dan telur masin dilihat berperanan penting dalam mengekalkan permintaan sepanjang tahun.
Pengusaha itu berkata, pasaran produknya kini meliputi Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, selain turut menerima permintaan dari negeri lain khususnya bagi anak ayam kampung Saga.
Permintaan terhadap anak ayam juga memberangsangkan dengan jualan mencecah hingga 2,000 ekor sebulan, sekali gus menunjukkan potensi besar baka berkenaan dalam industri ternakan tempatan.
Dalam pada itu, Suhaiti mengakui cabaran utama industri adalah peningkatan kos makanan ternakan seperti dedak dan jagung serta harga ubat-ubatan.
“Bagaimanapun promosi berterusan dan penghasilan lebih banyak produk nilai tambah, saya yakin ayam kampung Saga berpotensi menembusi pasaran lebih luas, serta menjadi antara pilihan utama pengguna pada masa hadapan.
“Malah, tunjuk ajar daripada kursus yang saya sertai di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantu dalam membangunkan ternakan ini terutama dalam memperkenalkan baka ayam premium ini dalam pasaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




