Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneruskan komitmen memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 yang berlangsung di daerah Daro, Sibu hari ini.
Program tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dalam memastikan kebajikan veteran dan keluarga terus terpelihara.

MINDEF menerusi satu kenyataan berkata, PVM merupakan platform penting bagi kementerian mendekati veteran secara langsung, di samping memahami keperluan semasa mereka termasuk akses kepada perkhidmatan kesihatan, peluang ekonomi dan sokongan sosial.
“Program ini menjadi kaedah terbaik untuk kami mendengar sendiri suara veteran di lapangan, seterusnya membantu kementerian menambah baik dasar, pendekatan dan program secara lebih tersusun serta inklusif,” katanya hari ini.
Dalam program kali ini, Adly berkesempatan menyantuni 11 veteran ATM di sekitar Daro dan Matu yang terdiri daripada golongan asnaf, pesakit kronik, balu serta ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain sesi ziarah dan bertanya khabar, MINDEF turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan termasuk keperluan asas, peralatan pesakit dan bantuan baik pulih rumah.
Turut diadakan adalah penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai tanda penghargaan kepada jasa veteran, selain pengagihan 100 Bakul Rahmah kepada persatuan veteran setempat.
MINDEF menegaskan bahawa veteran ATM merupakan aset negara yang perlu terus dihargai atas segala pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Pengorbanan dan jasa veteran ATM tidak pernah luput daripada ingatan. Justeru, kementerian akan terus memperluas program seumpama ini ke seluruh negara agar tiada veteran yang tercicir, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” ujar MINDEF lagi.

Dalam masa sama, usaha berterusan ini juga dilihat selari dengan agenda memperkukuh kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP), khususnya dalam memastikan kebajikan veteran ATM dan keluarga sentiasa terbela.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail; Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged), Brigedier Jeneral Dato’ Jafri Sulaiman; Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak, Mejar Steven anak Kadir; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu serta persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Sibu.




