Polis tumpaskan sindiket dadah, sorok syabu dalam tin makanan hantar ke Sabah

Polis tumpaskan sindiket dadah, sorok syabu dalam tin makanan hantar ke Sabah

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan syabu di dalam tin makanan bagi pasaran di Sabah, dalam tiga siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, kelmarin.

Kejayaan menerusi Op Icerya itu membawa kepada rampasan 61 kilogram (kg) methamphetamine dianggarkan bernilai RM3.05 juta serta penahanan lima individu, termasuk seorang wanita warga asing.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dikesan aktif sejak Mac lalu menggunakan taktik licik dengan membungkus semula dadah ke dalam tin makanan sebelum dihantar ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dalam serbuan pertama di Serdang Perdana, Selangor, polis merampas 48 tin berisi 30.4 kg syabu, manakala serbuan susulan di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil menemui 30.6 kg dadah jenis sama.

“Operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Sabah serta JSJN IPK Sabah. Kejayaan ini adalah berdasarkan hasil risikan berterusan oleh pihak JSJN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hussein berkata, siasatan mendapati semua suspek berusia antara 22 hingga 45 tahun itu mempunyai peranan khusus bagi memastikan kelancaran aktiviti pengedaran.

“Dua suspek bertindak sebagai penghantar (runner) manakala seorang lagi bertindak sebagai penghantar utama (transporter) serta seorang lagi berperanan koordinator sindiket.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, selain dadah, JSJN turut menyita dua kenderaan iaitu Honda City dan Hyundai Elantra mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM79,000.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta bagi kes ini adalah RM3.13 juta, jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 305,000 pengguna.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang turut menggesa orang ramai supaya menghubungi hotline JSJN di talian 012-208 7222 jika mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top