Konflik Asia Barat: Sarawak umum diskaun khas bil elektrik, naikkan bantuan SKAS

Konflik Asia Barat: Sarawak umum diskaun khas bil elektrik, naikkan bantuan SKAS

am@hmetro.com.my

Kuching: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian khas termasuk diskaun bil elektrik sebagai antara langkah utama membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup susulan konflik berlarutan di Timur Tengah.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, konflik berkenaan mencetuskan krisis tenaga dan ekonomi global yang memberi kesan rantaian kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, tekanan global itu turut dirasai melalui peningkatan pelbagai kos termasuk surcaj bahan api penerbangan, kos pengangkutan serta harga baja dan input pertanian.

“Keadaan ini secara langsung menyebabkan kenaikan harga makanan dan barangan keperluan runcit harian,” katanya pada sidang media pengumuman Pemberian Bantuan Khas di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, hari ini.

Abang Johari berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil keputusan melaksanakan beberapa langkah bagi membantu rakyat yang terjejas.

Katanya, antara inisiatif utama ialah pemberian diskaun elektrik sebanyak 25 peratus kepada pengguna domestik bermula April hingga Disember 2026.

Menurutnya, kadar diskaun itu adalah setara dengan yang pernah diberikan menerusi Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sebelum ini.

“Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 714,557 pengguna domestik dengan implikasi kewangan sebanyak RM188.1 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

Kerajaan Sarawak turut meningkatkan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi 2026.

Bagi kategori isi rumah, kadar bantuan dinaikkan daripada RM950 kepada RM1,100, manakala warga emas daripada RM500 kepada RM600 sementara individu bujang pula akan menerima peningkatan daripada RM300 kepada RM375.

Abang Johari berkata, hampir 900,000 penerima layak dijangka menerima manfaat bantuan itu berdasarkan data Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026.

Menurutnya, penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa iaitu Mac, Mei dan November tahun ini.

Katanya, kenaikan kadar bantuan itu membabitkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM136.2 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan SKAS kepada RM680 juta berbanding RM543.8 juta sebelum ini.

Selain itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri turut bersetuju memberikan diskaun 50 peratus ke atas sewaan pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan bagi membantu peniaga kecil.

“Diskaun sama juga diberikan kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana yang menyewa premis milik badan berkanun negeri seperti SEDC, BDA dan LCDA, dengan implikasi kewangan dianggarkan RM8.1 juta.

“Secara keseluruhan, jumlah bantuan kewangan yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi 2026 mencecah RM876.2 juta merangkumi SKAS, diskaun elektrik dan diskaun sewaan premis,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah proaktif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Menurutnya, dalam aspek penjimatan tenaga, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan diesel melalui pelaksanaan projek seperti Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (SARES).

“Projek itu membolehkan kawasan pedalaman menikmati bekalan elektrik 24 jam menggunakan tenaga solar tanpa bergantung kepada diesel.

“Pembinaan jambatan tanpa tol bagi menggantikan perkhidmatan feri turut membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta menjimatkan kos operasi,” katanya.

Abang Johari berkata, kerajaan GPS akan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terjamin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top