JDT berdepan misi paling getir, Al-Ahli lawan bertaraf 'kayangan'

JDT berdepan misi paling getir, Al-Ahli lawan bertaraf 'kayangan'

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan ujian paling sukar setakat ini apabila menentang gergasi Arab Saudi, Al-Ahli pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam esok.

Pertembungan itu boleh disifatkan bagai langit dengan bumi apabila wakil tunggal Malaysia itu bakal berdepan juara bertahan kejohanan yang bukan saja sarat dengan pengalaman, malah memiliki deretan pemain bertaraf dunia.

Apa yang menjadikan cabaran Harimau Selatan itu bertambah getir ialah jurang kekuatan di atas kertas yang cukup ketara, terutama jika dilihat dari sudut nilai pasaran semasa kedua-dua pasukan.

Berdasarkan semakan terkini, Al-Ahli muncul pasukan dengan nilai pasaran tertinggi dalam kalangan lapan kelab yang beraksi di suku akhir ACLE musim ini apabila mencecah sekitar RM806 juta.

Lebih menggerunkan, kelab Arab Saudi itu turut dibarisi beberapa nama besar yang pernah mencipta nama di liga utama Eropah seperti Ivan Toney, Riyad Mahrez, Franck Kessie dan Edouard Mendy.

Pemain tengah, Enzo Millot pula menjadi aset paling mahal dalam skuad itu dengan nilai pasaran sekitar RM129 juta, sekali gus menggambarkan betapa besarnya kekuatan dimiliki Al-Ahli untuk memburu satu lagi kemaraan.

Sebagai perbandingan, nilai pasaran JDT berada di tangga ketujuh daripada lapan pasukan suku akhir dengan sekitar RM64 juta, hanya sedikit mengatasi satu lagi wakil Asean, Buriram United yang bernilai sekitar RM60 juta.

Dalam skuad Harimau Selatan, pemain dengan nilai pasaran tertinggi ialah Nacho Mendez yang dianggarkan bernilai RM6 juta.

Namun, itu tidak bermakna JDT hadir ke gelanggang sebagai pasukan yang tiada sengat.

Skuad bimbingan Xisco Munoz itu tetap memiliki beberapa tonggak berkualiti seperti Bergson da Silva, Oscar Arribas, Ager Aketxe, Marcos Guilherme dan Nene yang mampu mengubah corak permainan dalam sekelip mata.

Hakikatnya, angka hanya sekadar angka kerana dalam bola sepak, nilai pasaran tidak pernah menjamin kemenangan mutlak kerana segala-galanya tetap ditentukan oleh apa yang berlaku di atas padang ketika 90 minit permainan berlangsung.

JDT mungkin turun sebagai pasukan bukan pilihan, namun status itu mampu menjadi senjata buat mereka untuk bermain tanpa tekanan dan cuba mencetuskan satu lagi kejutan besar di pentas Asia.

Apa yang pasti, laluan ke separuh akhir memang cukup berliku, tetapi jika ada pasukan Malaysia yang mampu mencabar gunung besar seperti Al-Ahli, Harimau Selatan adalah calon paling layak untuk melakukannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top