MGA perlu bantuan KBS anjur Kejohanan Golf Terbuka Malaysia

MGA perlu bantuan KBS anjur Kejohanan Golf Terbuka Malaysia

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Golf Malaysia (MGA) akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam tempoh terdekat bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk isu penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Malaysia.

Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, pihaknya memerlukan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu pada tahun ini.

Katanya, sejak kali terakhir dianjurkan pada 2024, kejohanan itu tidak dapat dilangsungkan selepas itu kerana tiada pihak sedia untuk tampil selaku penaja utama.

“Untuk anjurkan kejohanan itu perlukan penaja utama. Dulu kita ada Maybank (yang menjadi penganjur) sampai 10 tahun. Sekarang selagi tak ada penaja utama, kita tak boleh anjurkan.

“Sebab itu kami perlukan sedikit sokongan menteri. Saya pun nak cuba minta menteri kalau boleh panggil siapa-siapa pihak swasta yang boleh menjadi penaja,” katanya.

Jelas Mohd Anwar, adalah satu kerugian besar sekiranya kejohanan berprestij itu tidak dapat dianjurkan pada tahun ini memandangkan ia adalah Tahun Melawat Malaysia.

Beliau berharap kejohanan berprestij itu akan kembali dianjurkan antara Oktober atau November tahun ini sekiranya dapat memikat hati penaja utama.

“Tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi mungkin KBS dan Kementerian Pelancongan (Seni dan Budaya) boleh bergabung untuk keluarkan bajet (anjurkan Terbuka Malaysia).

“Mesti kena ada (penaja utama), kami tak mampu, MGA tak ada duit,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq menerusi laporan Arena Metro hari ini berkata, beliau sendiri menyedari isu penganjuran kejohanan berkenaan yang tidak lagi konsisten dan sedia mengadakan perbincangan bersama pihak berkenaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

Kejohanan yang suatu ketika dahulu gah sebagai antara pentas utama golf Asia kini seakan semakin hilang prestij apabila tidak lagi dianjurkan secara konsisten.

Kali terakhir kejohanan itu berlangsung adalah pada 2024 dengan nama Terbuka Malaysia IRS Prima, namun ia kembali sepi pada tahun lalu dan sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai penganjurannya bagi musim 2026.

Terbuka Malaysia mula diperkenalkan pada 1962 sebagai Terbuka Malaya dan sejak itu tidak pernah gagal dianjurkan sehingga 2015.

Selepas itu, ia terhenti selama empat tahun sebelum kembali dipertandingkan pada 2020.

Pandemik Covid-19 kemudian menjejaskan kelangsungan penganjuran sebelum ia kembali pada 2024 yang menyaksikan pemain Sepanyol, David Puig muncul juara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top