am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas empat kontena muatan kira-kira 80,000 kilogram sayap ayam yang disyaki tidak diisytihar.
Rampasan bernilai RM1.5 juta dibuat menerusi operasi pemeriksaan AKPS Dermaga Kota Kinabalu di Pelabuhan Sepanggar di sini, Rabu lalu, dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Komander AKPS Dermaga Kota Kinabalu, Shahrizan Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kontena berkenaan mengandungi sayap ayam dalam kuantiti besar yang tidak selaras dengan dokumen pengisytiharan.
“Ini sekali gus menjadi kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrizan berkata, operasi itu turut disaksikan wakil operator pelabuhan serta ejen kapal bagi memastikan proses pemeriksaan berjalan secara telus.
“AKPS komited memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi mengekang sebarang bentuk penyelewengan dagangan.
“Sebarang cubaan mengelak pengisytiharan atau menyeludup barangan akan diambil tindakan tegas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




