Kapal berpatah balik di Selat Hormuz susulan Iran ketatkan kawalan

Kapal berpatah balik di Selat Hormuz susulan Iran ketatkan kawalan
Kapal berpatah balik di Selat Hormuz susulan Iran ketatkan kawalan

Data pengesanan kapal menunjukkan beberapa buah kapal berpatah balik pada Sabtu ketika cuba melalui Selat Hormuz susulan tindakan Iran memperketatkan semula kawalan ke atas laluan strategik itu – Foto: Agensi

LONDON – Data pengesanan kapal menunjukkan beberapa buah kapal berpatah balik pada Sabtu ketika cuba melalui Selat Hormuz susulan tindakan Iran memperketatkan semula kawalan ke atas laluan strategik itu, lapor Xinhua.

Menurut data perkapalan daripada MarineTraffic, kira-kira 10 kapal telah berpusing balik di perairan berhampiran Pulau Larak, iaitu kawasan yang digunakan oleh Iran untuk memantau trafik maritim.

Data berkenaan menunjukkan kebanyakan kapal yang terlibat adalah kapal tangki minyak, dengan beberapa daripadanya menyenaraikan pelabuhan di India sebagai destinasi dalam rekod Sistem Pengenalan Automatik (AIS) mereka.

Pada Jumaat, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi berkata bahawa Selat Hormuz akan kekal “terbuka sepenuhnya” kepada perkapalan komersial sepanjang tempoh gencatan senjata dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan lonjakan pergerakan kapal di perairan berhampiran.

Bagaimanapun, Iran mengumumkan pada Sabtu bahawa kawalan selat itu telah “kembali kepada status asal” susulan sekatan berterusan Tentera Laut AS terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.

Selat Hormuz merupakan koridor penting bagi penghantaran tenaga global. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top