London: Brentford dan Fulham sekadar berkongsi mata selepas seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sekali gus terlepas peluang cerah untuk mengukuhkan kedudukan dalam perebutan slot Eropah.
Keputusan itu menyaksikan Brentford mencatat lima keputusan seri berturut-turut, sekali gus gagal memintas Chelsea di tangga keenam, manakala Fulham kekal di kedudukan ke-12.
Persaingan memburu tempat ke pentas Eropah semakin sengit apabila hanya enam mata memisahkan Chelsea (48 mata) dan Newcastle United di tangga ke-14.
Brentford yang kini berkongsi mata dengan Chelsea, namun ketinggalan dari segi perbezaan jaringan, hampir mencipta kemenangan pada masa tambahan apabila percubaan Dango Ouattara berjaya ditepis penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Namun, keputusan 0-0 kekal hingga wisel penamat, menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata dalam seteru setempat London Barat yang hambar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




