am@hmetro.com.my
Taiping: Wanita yang dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu tampil di Balai Polis Kajang, Selangor, semalam dan menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi mangsa culik.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, Nor Afiza Zainuddin, 41, yang sebelum ini dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu, hadir ke balai polis berkenaan kira-kira 3 petang dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Menurutnya, wanita itu turut memaklumkan bahawa dia tidak mahu diganggu oleh ahli keluarga mahupun mana-mana pihak.
“Nor Afiza menjelaskan bahawa dia keluar dari rumah pada 16 Jun lalu dengan kerelaan hati sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana individu.
“Keterangan wanita itu sudah dirakam dan polis mengesahkan laporan yang dibuat adalah benar.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati dia berada dalam keadaan baik, selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ariffridzuan berkata, susulan perkembangan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, tindakan menyebarkan maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat dan orang awam.
Sebelum ini, kehilangan Nor Afiza mendapat perhatian ramai selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah dan usaha mengesannya giat dijalankan oleh polis serta ahli keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




