am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, petang semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri turut dimaklumkan proses siasatan berhubung nahas itu sedang dijalankan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Katanya, hasil siasatan nahas berkenaan akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kelak.
“Pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas udara helikopter FDS di Long Lellang, semalam.
“Kami dimaklumkan proses siasatan sedang berjalan yang diusahakan pihak CAAM dan akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kelak,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Semalam, CAAM dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Operasi mengenal pasti dan mengeluarkan mangsa nahas helikopter FDS yang terhempas dan terbakar itu sedang giat dijalankan pasukan penyelamat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata operasi itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
© New Straits Times Press (M) Bhd

