am@hmetro.com.my
Melaka: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan sebarang rundingan berhubung persefahaman politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dilakukan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, ia sejajar dengan keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
“Kita akan buka pintu rundingan selepas bubar DUN. Jangan kelam-kabut, rundingan pasti akan berlaku tidak lama lagi.
“Tidak ada apa-apa rundingan rasmi sebelum DUN dibubarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini dilaporkan berkata perbincangan tidak formal sudah dimulakan antara BN serta Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun katanya, keputusan untuk pengagihan kerusi ini sebaik-baiknya dibuat selepas DUN Melaka dibubarkan.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan rasmi berhubung kerjasama atau pembahagian kerusi dengan BN bagi menghadapi PRN berkenaan.
Katanya, perbincangan dengan Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka setakat ini hanya berlangsung secara dalam talian dan belum memasuki peringkat rundingan rasmi.
Tempoh pentadbiran DUN Melaka dijadualkan berakhir sepenuhnya pada penghujung Disember ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
