alagesh@nst.com.my
Kuantan: Empat pekerja kilang, termasuk tiga warga asing, cedera dalam satu letupan di sebuah kilang keluli di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini hari ini
Mangsa yang berusia antara 29 hingga 49 tahun kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian membabitkan empat pekerja lelaki itu berlaku kira-kira 9.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada peralatan industri di dalam premis berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke HTAA menggunakan ambulans milik kilang.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Gebeng dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, polis bersama pihak pengurusan kilang serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang bekerjasama rapat bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis serta menggesa mereka yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




