puterialia@hmetro.com.my
Ipoh: Tiada hadiah lebih bermakna buat komposer Datuk M Nasir apabila meraikan ulang tahun kelahirannya ke-68 bersama ribuan peminat setia menerusi Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada 4 Julai ini.
Kelainan ditampilkan penganjur apabila pengumuman konsert dalam sidang media khas ketika tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bergerak dari Stesen Kuala Lumpur menuju ke Stesen Ipoh, di sini, hari ini.
Sidang media pada acara Ekspres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir Ke Ipoh itu turut menyaksikan kejutan besar dengan kehadiran legenda muzik Indonesia, Melly Goeslaw yang diumumkan sebagai penyanyi undangan dalam konsert terbabit.
Melly yang juga dikenali dengan gelaran ‘The Queen of Soundtracks’ turut sempat menghiburkan media dengan petikan lagu Fantasia Bulan Madu (ciptaan M Nasir) dan lagu hitsnya, Butterfly.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang menyifatkan gabungan M Nasir dan Melly sebagai satu detik bersejarah kerana kedua-duanya belum pernah disatukan dalam mana-mana acara sebelum ini.
“Salah seorang artis jemputan ialah seorang pencipta lagu tersohor di Indonesia dan kita satukan bersama M Nasir di satu pentas konsert.
“M Nasir tidak pernah disatukan baik secara ‘on air’ atau ‘off air’ bersama Melly. Jadi inilah keistimewaan Cipta 4 apabila menghimpunkan dua komposer hebat rantau ini.
“M Nasir mempunyai kira-kira 3,000 lagu dan Melly 700 lagu. Sebagai promoter kita bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, tetapi memastikan persembahan ini mencapai standard tersendiri,” katanya.
Sementara itu, M Nasir berkata, beliau mengharapkan konsert bertemakan ‘Batik Injection’ itu dapat memenuhi cita rasa peminat yang sentiasa dahaga keaslian dalam karya seni.
“Segala konsep dan apa yang akan ada pada malam konsert nanti semua sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas kami berbincang, saya harap semuanya berjalan lancar.
“Kita duduk dalam masyarakat yang obses kepada keaslian, jadi saya harap yang asli ini seperti siri Konsert Cipta berjaya dan menjadi kesukaan ramai,” katanya yang dijangka mempersembahkan antara 30 hingga 40 buah lagu termasuk rangkaian lagu secara medley.
Dalam pada itu, Melly meluahkan rasa teruja kerana diberi peluang berkongsi pentas dengan figura besar tanah air seperti M Nasir.
“M Nasir seorang komposer bernama besar di Malaysia. Ini penghormatan buat saya kerana diundang menjadi penyanyi jemputan di konsert beliau.
“Saya sangat suka dengan lagu M Nasir, malah banyak lagu beliau juga hit di Indonesia. Selain menyanyi bersama, saya harap kami dapat menggubah lagu bersama-sama nanti,” katanya.
Terdahulu, M Nasir pernah mencetuskan fenomena luar biasa selepas kejayaan tiga konsert menerusi jenama Cipta termasuk Cipta Raya yang mencetus pada 2024 dan 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




