37 Pati bersesak dalam tiga kereta

37 Pati bersesak dalam tiga kereta

am@hmetro.com.my

Tumpat: Menggunakan kereta yang disewa untuk membawa pendatang asing tanpa izin (Pati), sindiket penyeludupan migran berjaya ditumpaskan dengan penahanan 37 warga Myanmar, hari ini.

Kesemua Pati termasuk 10 wanita itu dimuatkan dalam keadaan berhimpit dalam tiga kenderaan sebelum ditahan pihak berkuasa di Kampung Kok Keli di sini, kira-kira jam 5.30 pagi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, penahanan Pati yang berusia antara 18 hingga 53 tahun itu dijalankan oleh Batalion 9 PGA bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

“Menerusi pemerhatian dan pemantauan yang dibuat di sekitar kawasan Kampung Kok Keli, tiga kenderaan iaitu jenis Proton X70, Mitsubishi Outlander dan Perodua Aruz dikesan berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran pasukan serbuan, ketiga-tiga kenderaan itu bertindak memecut keluar ke arah jalan Sungai Pinang menghala ke Kampung Terbak.

“Bagaimanapun, semua kenderaan itu berjaya ditahan namun pemandu melarikan diri dan tidak dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahmad Radzi berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan mendapati 27 lelaki dan 10 wanita tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga Myanmar.

Beliau berkata, semua Pati dan kenderaan dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ahmad Radzi berkata, kemasukan Pati itu dipercayai dikendalikan oleh sindiket terancang dengan bayaran lumayan antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang.

“Pergerakan melalui Myanmar ke Thailand menunjukkan wujud rangkaian penyeludupan rentas sempadan dengan Thailand sebagai transit utama sebelum masuk ke Malaysia.

“Sepanjang perjalanan, Pati beberapa kali dipindahkan dan dikurung di rumah berasingan di Myanmar dan Thailand sebelum mereka dibawa ke Malaysia dengan menggunakan bot.

“Kebanyakan pemandu yang terbabit adalah rakyat tempatan dan menggunakan kenderaan sewa sebagai medium pengangkutan.

“Ia bagi mengaburi pihak berkuasa dan dengan bayaran tinggi yang dikenakan kepada Pati sekali gus memberi keuntungan lumayan kepada sindiket,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top