Misi buru kejutan, cipta sejarah baharu bola sepak Malaysia

Misi buru kejutan, cipta sejarah baharu bola sepak Malaysia
Misi buru kejutan, cipta sejarah baharu bola sepak Malaysia

Pemain JDT menjalani latihan menjelang suku akhir ACLE menentang Al-Ahli malam ini.
Foto: Johor Southern Tigers

SELURUH tumpuan peminat bola sepak tanah air kini terarah kepada jaguh Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal berdepan gergasi Arab Saudi, Al-Ahli dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) malam ini.

Turun sebagai pasukan underdog di tempat lawan, skuad kendalian Xisco Munoz itu memikul tugas berat untuk melakar kejutan di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah dalam usaha memburu tiket ke pusingan separuh akhir.

Cabaran nyata sukar apabila Harimau Selatan bakal berhadapan barisan bintang dunia yang memperkuatkan Al-Ahli seperti Riyad Mahrez, Edouard Mendy, Ivan Toney dan Franck Kessie.

Namun, biarpun atas kertas kelebihan memihak kepada gergasi Al-Ahli, namun JDT juga mempunyai keupayaan membuat kejutan sekali gus mencipta sejarah baharu bola sepak Malaysia di pentas Asia.

Bagi Munoz, beliau menegaskan anak buahnya tidak perlu merasa gentar, sebaliknya menyifatkan perlawanan ini sebagai medan terbaik untuk membuktikan kualiti sebenar kelab dari selatan tanah air itu.

“Kami tidak takut. Kami telah melakukan persiapan rapi dan memantau kekuatan mereka sejak sekian lama. Kami tahu apa yang mereka mampu lakukan.

“Saya cukup mengenali Ivan Toney ketika saya berada di EPL (Liga Perdana Inggeris) sebelum ini. Kami mempunyai segala maklumat mengenai pemain mereka, namun apa yang paling penting adalah bagaimana kami bertindak balas di atas padang,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

Mengulas lanjut mengenai mentaliti pemain, Munoz melaungkan amaran bahawa status pasukan ‘kecil’ bukan penghalang untuk mengejutkan pasukan gergasi yang mempunyai bajet antara yang terbesar selain status sebagai juara bertahan.

“Dalam bola sepak, ini soal semangat dan karakter. Secara taktikal memang penting, tetapi mentaliti adalah kunci utama. Anda perlu tahu bahawa pasukan yang ‘kecil’ mampu ‘memakan’ pasukan yang besar.

“Akan ada fasa di mana kita mengawal permainan dan ada kalanya tidak. Jadi, pengorbanan dan fokus setiap pemain dalam fasa menyerang serta bertahan mestilah berada di tahap maksimum,” ujarnya.

Scroll to Top