Vissel Kobe tumbangkan Al Sadd, tempah slot separuh akhir

Vissel Kobe tumbangkan Al Sadd, tempah slot separuh akhir
Vissel Kobe tumbangkan Al Sadd, tempah slot separuh akhir

Vissel Kobe berjaya mara ke pusingan separuh akhir ACLE.

WAKIL Jepun, Vissel Kobe mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite selepas menyingkirkan kelab kendalian Roberto Mancini, Al Sadd menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 dalam aksi penuh drama di Jeddah, pada Khamis.

Kemenangan itu diraih selepas kedua-dua pasukan terikat seri 3-3 sehingga tamat masa tambahan, sekali gus menyaksikan Vissel Kobe mara ke kelompok empat terbaik buat kali kedua dalam sejarah kelab.

Pemain gantian, Jean Patric muncul wira apabila menyempurnakan penalti kemenangan selepas kegagalan bintang Al Sadd, Claudinho pada pusingan ketiga sepakan penalti.

Ketua jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe memuji semangat juang tinggi anak buahnya yang berjaya bangkit meskipun hampir tersingkir sebelum gol penyamaan Yoshinori Muto pada masa kecederaan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Inilah mentaliti pasukan Jepun, kami tidak pernah mengaku kalah. Kami cuba menjaringkan gol sehingga saat akhir dan akhirnya kami berjaya melakukannya,” kata Skibbe selepas perlawanan.

Dalam aksi tersebut, Al Sadd terlebih dahulu mendahului pada minit keenam menerusi penyudah klinikal Rafa Mujica selepas menerima hantaran Akram Afif hasil gerakan yang dimulakan oleh Roberto Firmino.

Vissel Kobe bagaimanapun hanya memerlukan 18 minit untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan padu bekas penyerang antarabangsa Jepun, Yuya Osako yang memanfaatkan hantaran lintang Gotoku Sakai.

Memasuki babak kedua, Al Sadd kembali mendahului menerusi dua gol dalam tempoh empat minit. Mujica menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-61, sebelum Firmino meletakkan kelab Qatar itu selesa di hadapan 3-1 pada minit ke-65.

Tersentak dengan kedudukan itu, Kobe memperkemaskan permainan dan Yusuke Ideguchi kembali merapatkan jurang pada minit ke-74. Drama sebenar berlaku pada saat akhir waktu kecederaan apabila Muto menanduk masuk hantaran Rikuto Hirose untuk mengikat kedudukan 3-3.

Penjaga gol Kobe, Daiya Maekawa turut memainkan peranan penting dengan melakukan tiga aksi menyelamat kritikal pada masa tambahan bagi memastikan saingan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kemenangan dramatik itu menyaksikan Vissel Kobe dijadualkan bertemu sama ada juara bertahan, Al Ahli atau wakil tunggal Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir nanti.

Scroll to Top