'Duduk semeja selesai kemelut PSM'

'Duduk semeja selesai kemelut PSM'

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Naib Presiden III Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan meminta 11 ahli gabungan yang keluar dari persatuan itu memikirkan semula tindakan mereka demi sukan sepak takraw di negara ini.

Mengakui tidak pasti apa tujuan dan rasionalnya ahli gabungan berkenaan keluar dari PSM, beliau sebaliknya menjelaskan jalan terbaik adalah duduk bersama di meja rundingan bagi menyelesaikan segala kemelut yang ada.

Katanya, semua pihak harus berganding bahu untuk bersama-sama memartabatkan sukan warisan itu dan tidak dikawal oleh orang luar yang ada kepentingan lain.

“PSM sentiasa bersikap terbuka dalam apa jua keadaan demi membaik pulih imej PSM itu sendiri. Jangan ada tangan ghaib atau agenda tertentu di luar sana yang nak memecah belahkan sesama kita dalam PSM.

“Saya sendiri akan memberikan kerjasama kepada pengurusan PSM yang baharu untuk tujuan ini, Insya-Allah. Paling penting bukan saya, bukan individu, tapi PSM dan sepak takraw negara harus dimartabatkan di persada antarabangsa.

“PSM akan mengadakan AGM pada tahun ini, pilihlah Ahli Majlis PSM yang baru dan terbaik nanti. Insya-Allah saya akan terus bersama PSM dan menyokong sesiapa sahaja yang menerajui PSM dan kepimpinan PSM yang baru nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) turut berterima kasih kepada bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail atas sumbangan dan jasa yang diberikan kepada persatuan itu selama menjadi presiden sejak 2002.

“Sesungguhnya PSM memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan beliau semasa Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis PSM sebelum ini.

“Tetapi saya menghormati keputusan beliau yang begitu ‘gentleman’ dalam memikirkan hala tuju PSM selepas ini. Mungkin kita tidak dapat memikirkan apa yang ada di benak fikirannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top