Jangan lengah kukuhkan perniagaan anda

Jangan lengah kukuhkan perniagaan anda

KEBANYAKAN usahawan dipengaruhi sumber berita mereka. Sekiranya sumber berita mereka melaporkan yang baik-baik sahaja, mereka mungkin tidak sedar kesan perang Iran yang dihadapi dunia sekarang ini.

Lagi pun media-media Barat membesarkan cerita gencatan senjata Amerika Syarikat (AS) – Iran walaupun ramai pemerhati melihatnya dengan sinis. Sekiranya perang dihentikan pada hari ini pun kesannya akan dirasai di dalam tempoh yang panjang.

Malah, sudah ada kenyataan umum yang menyatakan kita sudah di dalam krisis dan tempohnya boleh melangkau melebihi 12 bulan. Jadi, keperluan bagi usahawan mencari jalan untuk memperkukuhkan lagi perniagaan masing-masing sudah menjadi sesuatu yang perlu disegerakan.

Namun, bukannya sesuatu yang pelik sekiranya ada usahawan yang masih menunggu-nunggu. Mungkin hasil usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 menyebabkan ada usahawan yang berasa perang Iran tidak ada kesan ke atas mereka.

Di samping itu, perangai manusia yang berharap keadaan akan bertambah baik dengan sendiri menyebabkan mereka memilih untuk bertangguh. Bagi yang berharapkan pihak lain untuk selesaikan masalah mereka, sudah tentu mereka akan berniaga seperti biasa.

Jika ada kesan pun, mereka memilih untuk menyalahkan semua pihak melainkan diri mereka sendiri. Pendekatan ini sudah tentu tidak akan mengubah apa-apa.

Bertindak dengan panik pun bahaya juga. ini samalah dengan orang yang sedang lemas di dalam sungai. Dia akan berpaut kepada apa sahaja termasuk kepada orang yang mahu menyelamatkan beliau.

Jadi, di kala suasana masih terkawal, eloklah berusaha untuk bersiap sedia bagi menghadapi apa sahaja kesan daripada perang Iran ini. Di antara langkah penting ialah menilai kesan perang ke atas operasi perniagaan dan juga pasaran.

Sebagai contoh, perniagaan yang terlibat dengan pertanian sudah menyaksikan kenaikan harga baja kerana kebanyakan baja menggunakan bahan berasaskan petroleum. Kenaikan harga diesel juga menyebabkan kos pengangkutan meningkat. Bila perkara-perkara di atas berlaku, di antara keputusan yang perlu dibuat ialah sama ada mahu menyerap kenaikan kos atau menaikkan harga bagi menampung kenaikan kos berkenaan.

Keputusan ini pula bergantung kepada saiz modal serta kekuatan kewangan dan juga tahap persaingan di dalam pasaran. Bagi perniagaan bermodal besar dan ada skala yang besar untuk serap kenaikan kos, mungkin mereka mampu bertahan sehingga keadaan menjadi lebih kritikal.

Sebaliknya, perniagaan yang lebih kecil modalnya mungkin terpaksa menaikkan harga dengan lebih cepat.

Sekiranya tahap persaingan di dalam pasaran adalah sengit dan produk pertanian dianggap sebagai komoditi, sebarang kenaikan harga akan membuka peluang kepada pesaing untuk membesarkan saiz pasaran mereka dan mengambil pelanggan kita. Ini juga satu faktor yang perlu diambil kira. Oleh kerana tidak ada satu peluru perak yang boleh hilangkan kesemua cabaran secara serentak, lagi cepat usahawan memulakan langkah untuk memperkukuhkan perniagaan, lagi bagus.

Usahakan mencari solusi di kala kurang terdesak dan juga pilihan-pilihan yang ada masih banyak. Perhatikan kesan perang AS-Iran ini dengan lebih teliti dan bertindaklah bagi mengukuhkan lagi perniagaan masing-masing. Jangan jadi seperti amaran orang tua-tua kita, “Bila terhantuk baru terngadah”. Di kala itu, nasi mungkin sudah menjadi bubur.

*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji

Scroll to Top