Gara-gara hantaran Facebook, wanita maut ditikam berkali-kali

Gara-gara hantaran Facebook, wanita maut ditikam berkali-kali
Gara-gara hantaran Facebook, wanita maut ditikam berkali-kali

Suspek kini sudah ditahan pihak berkuasa.- FOTO: Agensi

JAKARTA – Seorang wanita berusia 43 tahun maut selepas dipercayai ditikam seorang lelaki dalam kejadian di Tebing Tinggi, Sumatera Utara pada Rabu.

Mangsa yang dikenali sebagai NRIG meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang dengan senjata tajam oleh suspek berusia 29 tahun.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Tebing Tinggi, AKP Budi Sihombing berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan suspek di media sosial.

Menurutnya, suspek bertindak agresif selepas tidak berpuas hati dan tersinggung dengan hantaran mangsa di Facebook yang kemudiannya mencetuskan kemarahan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menikam mangsa kerana emosi susulan pertikaian di media sosial. Suspek menggunakan sebilah pisau tentera dalam serangan tersebut,” katanya pada Khamis.

Difahamkan, suspek bertindak mendatangi mangsa sebelum menikamnya berulang kali sehingga menyebabkan kematian di lokasi kejadian.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi memburu suspek.

Suspek dipercayai melarikan diri ke daerah Batu Bara, namun berjaya ditahan pada hari sama kira-kira jam 5 petang ketika bersembunyi di rumah keluarganya di Kecamatan Sei Suka.

Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut dan kini menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut peruntukan kesalahan membunuh di bawah Kanun Keseksaan Indonesia. – Agensi

Scroll to Top