redzuan.muharam@hmetro.com.my
Ampang: “Saya tak malu pun guna kereta terpakai, sebaliknya bersyukur kerana beli dengan duit hasil titik peluh sendiri,” kata Alief Rezariel Reduan atau mesra disapa Alief yang mendapat perhatian selepas berkongsi kejayaannya membeli kereta pertama walaupun ia model lama dan terpakai.
Meninjau perkongsiannya di Threads, rata-rata warganet memberi kata positif dan tumpang gembira dengan kejayaan pemuda berusia 20 tahun itu.
Alief ketika dihubungi berkata, dia membeli kereta model Gen 2 itu pada harga RM5,500, hasil wang simpanan dan sebahagian pendapatan yang dikumpul sejak tiga bulan lalu.
Menetap di Bandar Baru Ampang, pemuda itu berkata, pada awalnya, dia tidak merancang untuk membeli kereta, namun nekad selepas putus cinta dengan teman wanitanya.
“Sebelum ini, saya ada motosikal saja dan itu pun beli dengan duit simpanan.
“Ikutkan, saya nak guna duit simpanan untuk belikan hadiah buat bekas teman wanita, tapi hubungan tak bertahan. Jadi daripada bersedih, lebih baik saya guna wang itu beli kereta.
“Syukur impian saya tercapai dan sudah pun bawa emak dengan ayah naik, malah mereka pun tumpang bangga,” katanya yang bekerja sebagai pembantu restoran.
Menurutnya, dia menabung untuk membeli kenderaan melalui pendapatan sebagai penunggang p-hailing.
“Cuma waktu Ramadan lalu, pesanan tak banyak, jadi saya tak boleh kerap buat p-hailing dan beralih kepada kerja sambilan di kedai emas. Dapatlah lebih RM1,000.
“Apabila campur dengan wang simpanan, akhirnya cukup dan puas hati kerana dapat beli kereta diidamkan. Kereta itu pun dalam keadaan baik, jadi berbaloi kerana macam kereta baharu,” katanya.
Berhubung perkongsiannya di media sosial, Alief tidak menyangka ia tular kerana niatnya sekadar berkongsi kegembiraan dan menjadikannya sebagai kenangan.
“Walaupun kereta terpakai, sekurang-kurangnya saya tak berhutang dan bebas pinjaman bank.
“Saya merancang mahu sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas ini dan mahu jadi guru bahasa Inggeris, jika ada rezeki.
“Kalau boleh, saya menggembirakan emak dan ayah, kemudian bawa mereka ke Tanah Suci. Sekarang pun saya kongsi duit gaji dengan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




