Tehran: Iran bakal bertindak menutup semula laluan di Selat Hormuz yang strategik sekiranya Amerika Syarikat (AS) masih meneruskan sekatan terhadap pelabuhan negara itu, tegas Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf pada Sabtu.
“Sekiranya sekatan ini berlarutan, Selat Hormuz tidak akan dibiarkan terbuka,” tulis Ghalibaf menerusi hantaran di platform X.
Beliau turut menambah bahawa sebarang pergerakan melalui laluan air itu bergantung sepenuhnya kepada kebenaran daripada pihak Iran.
Pada Jumaat, Presiden AS, Donald Trump berkata, satu perjanjian damai kini “sangat hampir” dicapai susulan tindakan Iran membuka semula Selat Hormuz. Bagaimanapun, Tehran menolak dakwaan Presiden AS itu yang menyatakan pihaknya bersedia menyerahkan bahan nuklear.
Isyarat positif daripada Washington ini muncul ketika gencatan senjata mula berkuat kuasa di Lubnan. Namun, perbezaan kenyataan daripada pihak Iran mengenai rundingan itu membayangkan masih terdapat percanggahan yang menghalang persetujuan rasmi.
“Kita sudah sangat dekat. Nampaknya ia akan membawa kebaikan kepada semua pihak. Kita hampir memiliki satu perjanjian,” kata Trump menerusi panggilan telefon ringkas bersama AFP dari Las Vegas. Beliau turut menambah tiada lagi sebarang isu berbangkit dengan Tehran.
“Selat itu akan dibuka, malah sudah pun dibuka. Segala-galanya berjalan dengan sangat lancar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




