Keadaan Jairo stabil

Keadaan Jairo stabil
Keadaan Jairo stabil

Jairo dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun masih di bawah pengawasan pihak hospital. Foto ARRIYADIYAH

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas mengalami kecederaan di muka ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Al-Ahli pada Jumaat.

Pemain import Harimau Selatan itu terpaksa diusung keluar selepas terkena tendangan pemain lawan, Ali Majrashi yang cuba melakukan sepakan gunting untuk mengeluarkan bola pada minit ke-36.

Susulan insiden tersebut, Jairo segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Memetik laporan media Arab Saudi, Arriyadiyah, Penyelaras Peralatan Perubatan JDT mengesahkan status terkini pemain tersebut yang kini di bawah pengawasan pakar.

“Jairo mengalami kecederaan di bahagian muka dan keadaannya kini stabil. Dia akan menjalani ujian pengimejan dalam masa terdekat bagi mengesahkan tahap kesihatannya dengan lebih terperinci,” katanya kepada portal berita berkenaan.

Laporan tersebut turut memaparkan beberapa keping gambar yang menunjukkan Jairo sedang menerima rawatan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di hospital.

Setakat ini, pihak pengurusan JDT masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kecederaan Jairo tersebut.

Scroll to Top