nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kajian menunjukkan peningkatan harga diesel susulan konflik di Asia Barat memberi kesan kepada 15 peratus rakyat.
Beliau berkata, baki 85 peratus adalah rakyat yang membeli diesel dengan harga subsidi, bukannya harga pasaran.
“Orang bangkitkan harga minyak diesel yang tinggi, saya akui dan setuju ada yang terkesan dengan peningkatan harga diesel termasuk sektor pengangkutan.
“Namun hanya 15 peratus rakyat yang terkesan dengan membeli harga pasaran, manakala 85 peratus lagi adalah membeli dengan harga subsidi,” katanya selepas merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut katanya, ada yang marah dengan mengatakan nelayan terkesan susulan kenaikan diesel, sedangkan golongan berkenaan membeli dengan harga subsidi.
“Jadi jangan beri contoh seperti itu. Apakah kita perlu langkah untuk meringankan beban rakyat?
“Ya, kita ada rundingan setiap hari untuk mencari jalan meredakan beban rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




